ANGGOTA Aviation Security (AVSEC), Koperal Mohammad Shafiq Safi’ai memperoleh penghargaan atas tindakan berani dan pantas beliau, ketika insiden tembakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dekat Sepang, Selangor pada 14 April lalu.
Menerusi hantaran di laman Facebook, Malaysia Airports menyifatkan tindakan Mohammad Shafiq sebagai sangat membanggakan dan beliau sudah melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab demi menjamin keselamatan pengunjung.
“Mohammad Shafiq telah memberi amaran keras dengan mengacukan senjata miliknya kepada suspek yang telah melepaskan dua das tembakan.
“Suspek kemudiannya terus melarikan diri dari tempat kejadian,” menurut hantaran itu pada Sabtu.
Hantaran sama turut memuat naik foto Mohammad Shafiq menerima sijil penghargaan dan wang sumbangan sebanyak RM1,000 daripada Malaysia Airports.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, suspek bertindak melepaskan dua das tembakan di Balai Ketibaan KLIA Terminal 1 dengan menyasarkan isterinya yang sedang menunggu jemaah umrah.
Namun, satu das tersasar, manakala satu lagi das mengenai pengawal peribadi isteri suspek dan dilaporkan parah.
Suspek kemudian terus melarikan diri sebelum berjaya diberkas polis di Kota Bharu, Kelantan, pada 15 April.
Suspek kemudian ditahan direman selama tujuh hari sehingga 22 April.