HomeGlobal'Lemah!', menteri Israel perlekeh serangan ke atas Iran

‘Lemah!’, menteri Israel perlekeh serangan ke atas Iran

MENTERI Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben-Gvir menyifatkan serangan Israel ke atas Iran pada Jumaat sebagai lemah.

Dalam hantarannya di akaun X, Ben-Gvir menggunakan perkataan Ibrani, ‘dardaleh, perkataan slanga yang membawa maksud lemah, mengecewakan atau tidak bagus’, menurut laporan The Jerusalem Post.

Komen Ben-Gvir segera mendapat respons daripada pemimpin pembangkang, Yair Lapid yang berkata, tidak pernah berlaku sebelum ini menteri dalam Kabinet pertahanan menjejaskan imej dan status negara di peringkat antarabangsa.

“Dalam satu perkataan, Ben-Gvir telah mempersenda dan memalukan Israel dari Tehran ke Washington,” katanya, lapor The Palestine Chronicle.

Sementara itu saluran berita RT melaporkan, seorang penyiar podcast, Shaiel Ben-Ephraim berkata bahawa media Iran telah memetik hantaran Ben-Gvir itu untuk mempersenda Israel.

Agensi berita Iran, Tasnim memetik hantaran media sosial menteri Israel itu dan menyatakan bahawa pegawai-pegawai Israel sendiri mentertawakan serangan itu.

Israel berikrar untuk bertindak balas terhadap serangan dron dan peluru berpandu Iran pada Sabtu, yang dilakukan Iran sebagai serangan balas terhadap pengeboman konsulat Iran di Damsyik, Syria yang mengorbankan beberapa pegawai kanan tenteranya.

Iran mengesahkan sistem pertahanan udaranya diaktifkan sebagai respons kepada objek asing pada Jumaat, manakala media negara itu melaporkan tiga dron kecil telah ditembak jatuh.

 

Author

Pilihan Editor