HomeBeritaChegu Bard direman 2 hari, disiasat ikut Akta Hasutan

Chegu Bard direman 2 hari, disiasat ikut Akta Hasutan

AHLI Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Chegu Bard ditahan dan direman selama dua hari bagi membantu siasatan mengikut Akta Hasutan 1948.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, majistret Mahkamah Kuala Lumpur membenarkan Chegu Bard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin direman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah mulai Ahad sehingga Isnin.

“Polis Diraja Malaysia mengesahkan telah membuka kertas siasatan dan membuat tangkapan terhadap Badrul Hisham Bin Shaharin @Chegu’Bard pada 27 April 2024.

“Tangkapan berhubung hantaran yang mengaitkan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dengan isu pembinaan kasino di Forest City serta melibatkan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebagai benteng kritikan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurut Mohd Shuhaily, siasatan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Bukit Aman.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 iaitu berkecenderungan menghasut bagi mendatangkan kebencian atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja.

“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, kes ini masih dalam siasatan, manakala pihaknya menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang ulasan atau spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

“Tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman awam.

“PDRM menggesa orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak dan tidak menggunakan platform terbabit sehingga boleh mendatangkan kegentaran awam serta menggugat keharmonian negara,” katanya.

Terdahulu, media tempatan melaporkan bahawa, Chegu Bard ditahan polis pada Sabtu, dipercayai berkaitan satu hantaran oleh beliau di media sosial mengenai projek kasino di Forest City, Johor.

Chegu Bard didakwa menyindir Anwar mengenai hub kewangan yang akan dibina di Forest City menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau turut berterima kasih kepada agensi berita, Business Times Singapore dan Bloomberg kerana melaporkan berita berkenaan kepada umum.

Sebelum ini, Anwar, Berjaya dan Genting Malaysia menafikan laporan Bloomberg, selain menggesa tindakan diambil terhadap syarikat media terbabit berhubung laporan itu.

Bloomberg melaporkan, Anwar menemui pengasas Berjaya Corporation Bhd, Tan Sri Vincent Tan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Genting, Tan Sri Lim Kok Thay untuk membincangkan lesen kasino bagi Forest City minggu lalu.

Author

Pilihan Editor