HomeBeritaPolitik'Islam tak ajar kempen hina pihak lawan'

‘Islam tak ajar kempen hina pihak lawan’

DR Muhamad Akmal Saleh meluahkan rasa kesal apabila segelintir penyokong Perikatan Nasional (PN) bertindak menggabungkan logo UMNO dan DAP menerusi sebuah replika, ketika hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu pada Sabtu.

Menurut Ketua Pemuda UMNO itu, setiap parti berhak untuk memiliki perbezaan pendapat namun tindakan menghina adalah sesuatu yang tidak dapat diterima.

“Kita boleh berkempen dengan matang,kerana kalah menang itu Allah yang akan tentukan.

“Namun, Islam tidak ajar kita dengan berkempen secara menghina pihak lawan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Ahad.

Tangkap layar hantaran Dr Muhamad Akmal di laman Facebook pada Ahad.

Mengulas lanjut, Dr Muhamad Akmal berkata, pendekatan berkempen yang baik perlu dilakukan melalui perkongsian idea serta hujahan, dan bukan secara menghina pihak lawan.

“Kalau ada alasan kenapa dulu geng sebelah sini pun ada kempen menghina, maka jawapan saya takkan benda yang buruk kita hendak ikut dan amalkan. Kalau macam itu sampai bila politik negara kita nak jadi matang.

“Jadi, tunjukkan akhlak yang baik kerana kita ini adalah cermin Islam di mata orang lain Sebab itu saya beritahu, pilihlah pemimpin yang bukan hipokrit,” katanya.

Pada Sabtu, tular sebuah foto di media sosial, memaparkan penyokong PN mengangkat sebuah replika yang mencantum logo UMNO-DAP ketika hari penamaan calon PRK Kuala Kubu Baharu.

PRK Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertandingan empat penjuru di antara Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Nyau Ke Xin (Bebas) dan Hafizah Zainudin (Parti Rakyat Malaysia).

PRK tersebut diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK berkenaan pada 11 Mei manakala pengundian awal pada 7 Mei.

PRK Kuala Kubu Baharu merupakan PRK ketujuh yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 pada 2022.

PRK kali ini akan menyaksikan jumlah pemilih seramai 40,226 orang yang terdiri daripada 39,362 orang pengundi biasa, 238 (tentera dan pasangan), serta 625 orang anggota polis termasuk seorang pengundi yang tidak hadir kerana berada di luar negara.

 

 

 

Author

Pilihan Editor