KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) sedang giat melaksanakan pelbagai inisiatif penting bagi mereformasikan pendidikan negara.
KPM dalam kenyataan memaklumkan, inisiatif itu antara lain termasuk penstrukturan semula sistem prasekolah, kurikulum persekolahan 2027 dan intervensi kurikulum bagi menangani keciciran pembelajaran.
Menurut KPM, kelas prasekolah akan diperluas di seluruh institusi pendidikan di bawahnya dalam memastikan isu keciciran murid dapat ditangani daripada peringkat awal.
Tambahnya, tumpuan turut diberi kepada pembangunan profesionalisme guru dengan pelbagai program ditawarkan untuk meningkatkan kompetensi dan profesionalisme guru dalam perkhidmatan.
“Terkini, KPM memperkenalkan platform Sistem Pengurusan Pembelajaran (SiPP) bagi memenuhi keperluan kompetensi digital guru,” menurut kenyataan itu pada Selasa.
KPM memaklumkan, Laporan Bank Dunia bertajuk Bending Bamboo Shoots: Strengthening Foundation Skills berkenaan sistem pendidikan negara diambil perhatian.
Katanya, perkara utama yang disentuh dalam laporan Bank Dunia adalah seperti kualiti dan akses pendidikan prasekolah, kecekapan murid serta pembangunan profesionalisme guru sememangnya berada dalam perhatian KPM.