SEORANG wanita yang dipercayai menjadi sasaran tembakan jarak dekat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 1 (KLIA 1), dekat Sepang, Selangor pada Ahad mengakui masih trauma dengan insiden tersebut.
Menerusi hantaran di laman Facebook, Farah Md Isa atau lebih dikenali sebagai Farah Cie turut berkongsi perkembangan terkini mengenai pengawal peribadinya yang menjadi mangsa tembakan tersebut dan kini menerima rawatan di Hospital Cyberjaya.
“Mohon maaf mesej bertalu tidak terbalas. Masih trauma kejadian di depan mata.
“Sekarang pengawal peribadi Farah masih tidak sedarkan diri. Sama kita doakan kesembuhan Along sihat sedia kala,” tulisnya pada Isnin pagi.
Pada Ahad, seorang pengawal peribadi parah selepas seorang lelaki bertindak melepaskan tembakan terhadap isterinya dalam kejadian di Balai Ketibaan KLIA 1.
Dalam kejadian pada kira-kira jam 1.15 pagi itu, lelaki terbabit melepaskan dua das tembakan, namun salah satu daripadanya terkena seorang lelaki tempatan yang juga pengawal peribadi.
Menurut polis, lelaki tersebut mahu melepaskan tembakan ke arah isterinya yang sedang menunggu kepulangan jemaah umrah.
Polis juga menegaskan bahawa, insiden itu adalah bersifat peribadi dan tidak melibatkan sebarang aktiviti keganasan atau mana-mana kumpulan.
Malah, identiti dan usaha memburu suspek yang dipercayai melarikan diri ke arah utara tanah air kini sedang giat dijalankan.