HomeBeritaEnegem laksana urus niaga bekalan elektrik hijau rentas sempadan

Enegem laksana urus niaga bekalan elektrik hijau rentas sempadan

KERAJAAN bersetuju untuk menubuhkan Energy Exchange Malaysia (Enegem) bagi melaksanakan perdagangan bekalan elektrik hijau merentas sempadan ke negara jiran.

Keputusan itu selaras dengan aspirasi peralihan tenaga negara serta komitmen Malaysia untuk menyokong inisiatif integrasi bekalan elektrik serantau melalui ASEAN Power Grid (APG).

Menurut Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), urusan perdagangan tenaga merentas sempadan menerusi platform Enegem itu akan dilaksanakan berpandukan Guide for Cross-Border Electricity Sales (CBES) terkini dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tenaga.

Sehubungan itu, PETRA mempelawa pihak yang berminat dan berkelayakan untuk menyertai proses bidaan pembelian bekalan elektrik hijau daripada sistem bekalan elektrik Malaysia untuk disalurkan ke sistem bekalan elektrik Singapura menerusi platform Enegem.

“Pembidaan bagi perdagangan bekalan elektrik hijau merentas sempadan ke Singapura ini akan dimulakan dengan pelaksanaan projek rintis berjumlah 100 megawatt (MW) menggunakan rangkaian infrastruktur sambung tara sedia ada antara Semenanjung Malaysia dan Singapura,” menurutnya dalam kenyataan pada Isnin.

Antara intipati pelaksanaan proses bidaan di bawah projek rintis ini adalah skim berkenaan terbuka kepada Pembida Tenaga Boleh Baharu (TBB) yang mempunyai lesen penjanaan dan/atau lesen peruncitan bekalan elektrik bagi pasaran Singapura, manakala pembida berminat perlu berdaftar dengan Single Buyer untuk menyertai proses bidaan.

Selepas proses prakelayakan, mereka yang berjaya mendapat notifikasi untuk melakukan bidaan pembelian Bekalan Elektrik Hijau pada hari bidaan dan pembida berjaya akan menandatangani Perjanjian Pembekalan Elektrik Tenaga Boleh Baharu dengan Single Buyer untuk urus niaga bekalan elektrik hijau.

Pembida TBB yang berminat boleh mendaftarkan hasrat penyertaan melalui laman sesawang PETRA atau Single Buyer mulai Selasa.

“PETRA yakin pelaksanaan bidaan melalui platform Enegem akan membolehkan Malaysia memperkukuhkan lagi kerangka kerja pembekalan elektrik merentas sempadan, di samping membuka peluang pembangunan serta usaha sama bidang TBB yang lebih luas melalui perdagangan TBB merentas sempadan antara negara ASEAN,” menurut kenyataan itu lagi.

APG merupakan inisiatif untuk membina rangkaian kuasa hubungan serantau, pertama pada terma dua hala merentas sempadan, kemudian secara beransur-ansur berkembang kepada asas subserantau dan seterusnya membawa kepada sistem grid kuasa Asia Tenggara bersepadu sepenuhnya.

 

Author

Pilihan Editor