HomeBeritaPolitikKhairul Azhari perjelas isu Sarjana Eksekutif, siap muat naik sijil

Khairul Azhari perjelas isu Sarjana Eksekutif, siap muat naik sijil

SELEPAS dihujani dengan persoalan dan pertikaian melibatkan kelayakan akademik ‘Sarjana Eksekutif’ yang dimilikinya, Khairul Azhari Saut tampil memberi penjelasan lanjut mengenai perkara tersebut.

Menerusi hantaran di laman Facebook, calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu itu bertindak memuat naik sijil dan transkrip pengajian Ijazah Sarjana Eksekutif Pengurusan Perniagaan, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Advance, yang diperolehi pada 29 September 2021.

Sijil pengajian Ijazah Sarjana Eksekutif Pengurusan Perniagaan, dari UMPSA Advance yang diperoleh Khairul Azhari pada 29 September 2021. -FB Khairul Azhari
Transkrip pengajian Ijazah Sarjana Eksekutif Pengurusan Perniagaan, dari UMPSA Advance yang diperoleh Khairul Azhari. -FB Khairul Azhari

Menurut Pemangku Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor itu, beliau menyedari bahawa isu pendidikan yang dilalui di UMPSA Advance tersebut menjadi buah mulut orang ramai.

Namun, katanya, keengganan untuk mengulas lanjut mengenai isu tersebut adalah kerana mahu memberi tumpuan melalui tempoh kempen dengan penuh hikmah dan adil, di samping menyantuni seberapa ramai pengundi yang bakal memilih pada 11 Mei depan.

“Saya mengerti serangan saraf yang ditujukan kepada peribadi saya adalah satu jangkaan yang perlu saya bersedia dan saya bertekad melaluinya dengan membawa kredibiliti dan keupayaan pasukan PN yang lebih besar agendanya.

“Namun, lanjutan ‘perbincangan’ mengenai latar belakang peribadi saya, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas penjelasan Dr Ahmad Johari Mohammad (Pegawai Eksekutif UMPSA Advance) yang mengesahkan lanjutan pengajian saya yang sah, yang sepatutnya tak perlu diperjelaskan.

“Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih atas kenyataan yang tersiar di media yang saya sisipkan sekali dalam hantaran ini,” katanya menerusi hantaran tersebut.

Mengulas lanjut, Khairul Azhari berkata, tindakannya memuat naik transkrip dan sijil pengajian adalah untuk menenangkan ‘kawan dan lawan’ yang begitu prihatin dengan isu yang berlegar itu.

Beliau menegaskan, fokus beliau dan PN adalah mengenai kos sara hidup rakyat yang semakin menekan.

“Maka, izinkan saya dan pasukan kami untuk meneruskan perjuangan PN dalam memenangi kerusi PRK DUN Kuala Kubu Bharu dengan lebih jitu kerana ini yang sangat diperlukan sekarang oleh rakyat.

“Apa-apa pun, kami mengucapkan terima kasih atas sokongan dan perhatian para ‘kawan dan lawan’ terhadap latar belakang saya,” jelasnya.

Pada Sabtu, Khairul Azhari enggan mengulas sebarang tanda tanya berkait latar belakang pendidikannya, susulan poster tular memaparkan beliau memiliki Diploma Eksekutif Pengurusan dari Universiti Malaya (UM) pada 2019, sebelum ‘melangkau’ dengan memperoleh Ijazah Sarjana Eksekutif Pengurusan Perniagaan di UMPSA, dua tahun kemudiannya.

Keratan laporan Ahmad Johari yang mengesahkan, Khairul Azhari memiliki Sarjana Eksekutif Pengurusan Perniagaan dari UMPSA. – FB Khairul Azhari

Sebelum ini, Ahmad Johari dilapor mengesahkan bahawa, Khairul Azhari memiliki Sarjana Eksekutif Pengurusan Perniagaan dari UMPSA.

Ahmad Johari berkata, Khairul Azhari melanjutkan pengajian melalui program profesional di bawah UMPSA Advanced dan menerima sarjananya dalam majlis konvokesyen pada 2021.

PRK Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertandingan empat penjuru di antara Khairul Azhari, Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Nyau Ke Xin (Bebas) dan Hafizah Zainudin (Parti Rakyat Malaysia).

PRK tersebut diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK berkenaan pada 11 Mei manakala pengundian awal pada 7 Mei.

 

 

 

Author

Pilihan Editor