HomeBeritaImigresen cekup dalang jual produk kosmetik tanpa kelulusan KKM

Imigresen cekup dalang jual produk kosmetik tanpa kelulusan KKM

JABATAN Imigresen menahan seorang wanita warga Indonesia berusia 50 tahun, selepas dipercayai menjadi dalang penjualan produk kosmetik dan kecantikan dalam talian yang tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh, pihaknya turut menahan seorang lelaki dan wanita warga Indonesia berusia 25 tahun dan 35 tahun dalam serbuan di dua lokasi di Setapak, Kuala Lumpur dan Ampang, Selangor pada Khamis lalu.

Beliau berkata, kedua-dua individu itu dipercayai berperanan sebagai ‘promoter dalam talian’ bagi produk tersebut.

Dalam serbuan itu, katanya, produk kosmetik dan kecantikan pelbagai jenama, dua pasport Indonesia, wang tunai sebanyak RM3,263 serta 3.3 juta Rupiah turut dirampas.

“Hasil semakan awal mendapati, seorang daripada wanita yang ditahan itu memiliki Pas Lawatan Sosial yang masih sah laku, manakala seorang lagi wanita tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di Malaysia.

“Sementara itu, lelaki yang ditahan pula telah tinggal lebih masa,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Antara individu warga asing yang ditahan dalam serbuan pada Khamis lalu. -Jabatan Imigresen

Tambahnya, semua warganegara asing yang ditahan itu melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan kini ditahan di Depot Imigresen Semenyih, Selangor.

“Warganegara asing ini juga akan disiasat oleh pihak KKM kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” katanya.

Ruslin berkata, pihaknya turut memberikan notis kepada seorang lelaki tempatan untuk hadir ke pejabat Jabatan Imigresen bagi membantu siasatan.

Sindiket tersebut menggunakan platform media sosial untuk mempromosikan produk kosmetik dan kecantikan. – Jabatan Imigresen

Katanya, modus operandi sindiket itu adalah membawa masuk produk kosmetik dan kecantikan secara haram untuk dijual kepada pelanggan secara dalam talian melalui ejen dengan harga RM159 setiap satu.

Jelasnya lagi, sindiket itu menggunakan platform media sosial untuk mempromosikan produk kosmetik dan kecantikan serta dipercayai telah beroperasi selama enam bulan.

“Operasi ini berdasarkan aduan dan risikan yang dilaksanakan selama tiga minggu, dengan disertai sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat daripada Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya serta pegawai penguat kuasa (farmasi) dari Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur,” katanya.

 

Author

Pilihan Editor