FENOMENA lagu raya berjudul Alamak Raya Lagi! yang dinyanyikan oleh kumpulan De Fam menjadi trend terkenal di aplikasi TikTok.
Malah, baru sebulan dimuat naik di laman YouTube, muzik video single berkenaan menerima lebih 17 juta tontonan setakat ini.
Tidak hanya menjadi siulan di dunia nyata, Alamak Raya Lagi! juga dilihat mendapat sambutan luar biasa di Malaysia serta menjadi ikutan masyarakat di luar negara.
Bukan sekadar itu, terdapat segelintir individu mengambil langkah menukar lirik lagu Alamak Raya Lagi! menjadi lebih kreatif.
Mengikuti perkembangan semasa, seramai tiga orang pelajar beruniform Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) tidak melepaskan peluang mencuba trend tersebut.
Pelajar itu menggunakan latar belakang lagu tersebut, untuk memberikan pesanan khidmat masyarakat mengenai pencegahan nyamuk Aedes.
Menariknya, mereka menukar setiap lirik pada lagu tersebut sesuai dengan tata cara pencegahan nyamuk Aedes.
Video tersebut kemudian mendapat perhatian netizen sehingga berjaya meraih lebih 700,000 jumlah tontonan dan 51,000 tanda suka (likes) di TikTok.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen terhibur dengan telatah mereka yang kelihatan bersahaja menyanyikan lagu tersebut.
“Ni kalau tak dapat markah penuh tak tahulah, dah FYP (For Your Page) tau,” ujar @syasyusyi.
“Saya tak pasti ni pertandingan apa dekat sekolah. Tapi good luck, semoga menang!” ucap @beyyaboyyoo.
@soosugar718 Jom Cari Dan Musnah !!!Alamakkkk ada Nyamukkk!!! #JomCaridanMusnah #PerlishebatSihatMilikSemua #OneHourMalaysiaCleanUp #BSMM
Untuk rekod, Alamak Raya Lagi! pada asalnya diilhamkan daripada Raya ‘terkejut’ tahun 2022 dan sepatutnya dikeluarkan pada tahun lalu.
Namun, atas beberapa faktor, penerbitannya terpaksa ditangguhkan sehingga tahun ini.
Terdahulu, kumpulan penari wanita Jepun dikenali sebagai Avantgardey dilaporkan menarikan lagu tersebut sehingga tular di negara matahari terbit.
Bukan itu sahaja, sekumpulan perempuan berbangsa India turut mengambil kesempatan pada awal Syawal, dengan menarikan lagu tersebut sambil memakai baju tradisi kebaya Melayu.