HomeBeritaBeras di tapak pelupusan sampah Kuala Krau tak selamat dimakan - KPKM

Beras di tapak pelupusan sampah Kuala Krau tak selamat dimakan – KPKM

BERAS yang dibuang di tapak pelupusan sampah berhampiran Jalan Pintasan Rumpun Makmur-Gunung Senyum, Kuala Krau, dekat Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak selamat untuk dimakan.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerusi kenyataan pada Jumaat memaklumkan bahawa, perkara itu susulan hasil siasatan yang dijalankan oleh pihak Kawalselia Padi dan Beras (KPB) cawangan Temerloh yang telah turun ke lokasi kejadian.

“KPKM memandang serius akan isu tular yang berlaku dan telah mengambil langkah segera dengan menjalankan siasatan melalui KPB cawangan Temerloh di lapangan.

“Turut hadir ke lokasi ialah pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp),” menurut kenyataan itu.

Menurut KPKM, sebarang aktiviti pelupusan beras hendaklah dirujuk dengan pihak KPB KPKM.

Kementerian itu turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi, berikutan perkara tersebut masih dalam siasatan mengikut Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522).

“Sebarang maklumat lanjut atau aduan berhubung isu ini, sila kemukakan aduan secara rasmi bersama butiran dan maklumat yang lengkap melalui KPB atau KPKM di portal aduan KPB: https://skpb.kpkm.gov.my/adu atau emel rasmi di aduankpb@kpkm.gov.my atau hotline ibu pejabat KPB Putrajaya di talian 03-88701751/1748/1183,” katanya.

Terdahulu, Media Variasi melaporkan kampit beras dan beberapa barangan dapur dalam kuantiti besar dibuang dan dibakar, di kawasan pembuangan sampah berhampiran Jalan Pintasan Rumpun Makmur – Gunung Senyum.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said mengesahkan bahawa, barangan berkenaan merupakan miliknya dan menjadi stok simpanan yang sentiasa disediakan bagi memenuhi permintaan orang ramai ketika beliau menjadi Ahli Parlimen Kuala Krau.

Jelasnya, barangan tersebut disediakan menggunakan peruntukan peribadi, sebelum tempoh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022.

Namun, katanya, barangan tersebut juga tidak sesuai untuk diagihkan kepada orang ramai kerana  sudah tercemar.

 

Author

Pilihan Editor