HomeBeritaPolitikLulus pindaan Perlembagaan, Bersatu ambil langkah susulan

Lulus pindaan Perlembagaan, Bersatu ambil langkah susulan

CYBERJAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengambil beberapa langkah susulan, selepas pindaan Perlembagaannya diluluskan oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Menurut Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, hal itu bagi memastikan segala tindakan selepas ini akan mengikut Perlembagaan dan undang-undang.

Beliau berkata, Bersatu ketika ini juga sedang mengambil langkah untuk memperkasakan parti agar kekal relevan buat rakyat.

“Bersatu merakamkan ucapan terima kasih kepada ROS kerana telah meluluskan pindaan Bersatu yang diluluskan sebulat suara dalam Perhimpunan Agung Luar Biasa (EGM) Bersatu pada 2 Mac lalu.

“Beberapa langkah susulan akan diambil bagi memastikan segala tindakan selepas ini akan mengikut perlembagaan dan undang-undang.

“Pada masa yang sama, proses pemerkasaan parti sedang dilunaskan dan insya-Allah, Bersatu serta Perikatan Nasional (PN) akan kekal menjadi suara serta pilihan rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Surat kelulusan pindaan Perlembagaan Bersatu – FB Hamzah Zainudin

Sebelum ini, ROS meluluskan usul pindaan Perlembagaan Bersatu kerana ia memenuhi kehendak mengikut Seksyen 11 Akta Pertubuhan 1966.

Ketua Pengarah ROS, Datuk Mohd Zulfikar Ahmad berkata, pindaan peruntukan dilaksanakan parti itu juga dibuat mengikut Perlembagaannya.

Author

Pilihan Editor