HomeTeknologiAngkasawan dedah perubahan pada tubuh selepas pecah rekod tinggal di angkasa

Angkasawan dedah perubahan pada tubuh selepas pecah rekod tinggal di angkasa

 

TAHUN lepas, angkasawan NASA, Frank Rubio mencipta rekod dunia sebagai angkasawan Amerika Syarikat (AS) yang paling lama tinggal di angkasa iaitu selama 371 hari.

Lelaki berusia 48 tahun itu kembali ke Bumi pada 27 September 2023, mendarat di Kazakhstan selepas misi enam bulannya dilanjutkan selama enam bulan lagi.

Semasa mendarat semula di Bumi, Rubio berkata, dia akan dinilai oleh pasukan perubatan dan dia memerlukan masa untuk menyesuaikan semula dengan graviti Bumi.

Sementara rekod luar biasa itu akan mengukuhkan namanya dalam sejarah angkasa, misinya selama setahun mempunyai beberapa kesan ke atas angkasawan itu, lapor Unilad.

Walaupun kebanyakan daripada kita penduduk Bumi tidak akan pernah memikirkan akibat dari masa yang begitu lama di angkasa, ia telah mendedahkan apa sebenarnya kesan hidup tanpa graviti untuk tempoh masa yang panjang itu.

Sebenarnya, kekurangan graviti akan menyebabkan penurunan jisim otot dan juga tulang dalam beberapa bulan pertama misi.

Dr Jennifer Fogarty, ketua pegawai saintifik di Institut Penyelidikan Translasi Baylor College of Medicine for Space Health, memberitahu ABC News pada masa itu: “Bagaimana anda menyelaraskan pergerakan seperti berjalan, yang anda tidak lakukan untuk jangka masa yang lama, dengan menyimbangkan badan?

“Apabila anda melakukannya bersama-sama, ia boleh mewujudkan situasi tidak menentu dan ia sangat dipantau pada ahli krew apabila mereka mendarat di Bumi.”

Dr Fogarty seterusnya menjelaskan bahawa semakin lama misi berjalan, semakin lama masa yang diperlukan untuk angkasawan menyesuaikan semula apabila kembali ke Bumi.

Bukan itu sahaja, aliran darah seseorang juga boleh terjejas teruk apabila tinggal di angkasa lepas, yang boleh menyebabkan gejala seperti penglihatan kabur atau bengkak mata, darah dan cecair serebrospinal yang bertukar dalam badan – dikenali sebagai Sindrom Neuro-Okular Berkaitan Penerbangan Angkasa.

Menurut Dr Michael Decker, pengarah bersama Pusat Fisiologi Aeroangkasa di Sekolah Perubatan Universiti Case Western Reserve, urat dalam badan kita mempunyai injap di dalamnya untuk memastikan ‘darah tidak mengalir ke belakang apabila kita berdiri’.

Bila tiada graviti, ia akan memberi kesan terhadap aliran darah.

“Sesetengah daripada peningkatan tekanan intrakranial ini sebenarnya boleh memberi kesan kepada mata dan membawa kepada kecacatan penglihatan. Kadang-kadang apabila angkasawan mendarat, kecacatan penglihatan itu tidak hilang,” jelasnya.

Persekitaran terpencil juga boleh menyebabkan keletihan, tekanan dan kurang tidur.

Semasa berada di angkasa lepas, kesihatan mental dan fizikal Rubio akan dinilai oleh saintis, serta sistem imunnya dan sebarang perubahan pada gennya.

Dan pada Januari tahun ini, Rubio mendedahkan dia telah menghabiskan masa empat bulan di Bumi untuk pulih dan ‘bergabung semula’ ke Bumi.

“Anda menyesuaikan diri dengan sangat cepat untuk berada di angkasa, tetapi malangnya, proses penyesuaian semula kembali ke Bumi kadang-kadang boleh menjadi sedikit lebih lama dan lebih sukar.

“Dan itu adil, saya fikir, kerana kuasa graviti dan kuasa yang bermain di sini di Bumi cenderung mempunyai kesan yang lebih kuat pada badan anda. Jadi ia mengambil masa dua hingga tiga bulan untuk mengembalikan diri anda ke tempat anda sebelum penerbangan. Saya rasa agak normal.”

“Pada ketika ini, saya rasa saya kembali ke 90-95 peratus. Jadi banyakkan senaman, banyak ujian dan sains,” katanya kepada TIME.

 

Author

Pilihan Editor