HomeBeritaMalaysia bimbang, kecewa veto halang Palestin sebagai anggota penuh PBB

Malaysia bimbang, kecewa veto halang Palestin sebagai anggota penuh PBB

MALAYSIA menyatakan rasa bimbang dan dan amat kecewa susulan penggunaan veto di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), untuk menghalang kemasukan Palestin sebagai Anggota Penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis.

Kementerian Luar (KLN) menerusi kenyataan pada Jumaat berkata, perkara tersebut masih berlaku meskipun terdapat sokongan besar negara-negara Anggota PBB terhadap Palestin.

“Pelaksanaan veto ke atas perkara penting dan signifikan ini telah menimbulkan persoalan terhadap keinginan sebenar Ahli Majlis Keselamatan PBB tersebut untuk merealisasikan hak-hak rakyat Palestin.

“Ini termasuk hak untuk menentukan nasib mereka sendiri, ekoran kependudukan haram Israel di Tebing Barat, Gaza dan Baitulmaqdis Timur sejak 1967,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, KLN berkata, Malaysia kekal komited dengan perjuangan rakyat Palestin dan akan meneruskan usaha-usaha ke arah penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.

“Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa termasuk UNSC untuk terus berusaha ke arah keanggotaan penuh Palestin di PBB,” katanya.

Terdahulu, Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa veto bagi menolak usul PBB untuk mengiktiraf negara Palestin.

Pengundian yang dilakukan dalam sidang UNSC di ibu pejabat PBB di New York, AS itu secara langsung menafikan Palestin keahlian penuh dalam badan dunia tersebut.

AS berkata, sebuah negara Palestin yang merdeka harus ditubuhkan melalui rundingan terus antara Israel dan Pihak Berkuasa Palestin dan bukan melalui tindakan PBB.

Ia membantah deraf resolusi yang mengesyorkan kepada 193 anggota Perhimpunan Agung PBB (UNGA) supaya Palestin diterima menjadi ahli PBB.

Palestin pada masa ini adalah negara pemerhati bukan ahli, pengiktirafan de facto kenegaraan yang diberikan oleh UNGA pada 2012.

Permohonan untuk menjadi ahli penuh PBB perlu diluluskan oleh UNSC dan kemudian sekurang-kurangnya dua pertiga ahli UNGA.

Desakan Palestin untuk menjadi ahli penuh PBB dibuat ketika perang Israel-Palestin memasuki bulan ketujuh, sementara rejim Yahudi itu terus memperluaskan penempatan di Tebing Barat yang diduduki.

 

 

 

 

Author

Pilihan Editor