HomeGlobalMayat 50 rakyat Palestin dibunuh tentera Israel ditemukan dalam kubur besar

Mayat 50 rakyat Palestin dibunuh tentera Israel ditemukan dalam kubur besar

MAYAT 50 rakyat Palestin yang dibunuh oleh tentera Israel ditemukan dalam kubur besar di wilayah selatan Khan Younis, kata Pentadbiran Pertahanan Awam Palestin di Genting Gaza pada lewat Sabtu.

“Hari ini, pasukan kami di Wilayah Khan Younis menemukan mayat 50 syuhada daripada kumpulan umur berbeza yang dikumpulkan oleh tentera pendudukan dan dikebumikan secara beramai-ramai di Hospital Nasser,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Anadolu.

Menurut kenyataan itu, masih terdapat mayat dalam kubur besar dan di bawah runtuhan, sambil menambah bahawa pasukan pertahanan awam meneruskan usaha mencari dan mendapatkan semula mayat-mayat tersebut.

Tentera Israel mengumumkan pengundurannya dari Khan Younis pada 7 April selepas empat bulan operasi darat yang bertujuan mendapatkan semula tebusan Israel yang ditahan oleh kumpulan penentang Palestin, Hamas, tetapi ia keluar dari bandar itu tanpa mencapai objektifnya.

Operasi tentera Israel menyebabkan kemusnahan besar pada jalan raya, rumah dan infrastruktur.

Penduduk Palestin di Khan Younis melarikan diri semasa operasi darat ke kawasan berhampiran Rafah dan kawasan tengah di Deir al-Balah, di mana mereka mencari perlindungan di khemah dan pusat pemindahan seperti sekolah serta hospital.

Israel mengingkari keputusan sementara Mahkamah Keadilan Antarabangsa, dengan meneruskan serangan ke atas Gaza di mana sekurang-kurangnya 34,049 rakyat Palestin terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan 76,901 cedera sejak 7 Oktober, menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin.

 

Author

Pilihan Editor