HomeBeritaKerajaan nekad laksana subsidi bersasar pulihkan ekonomi negara - Anwar Ibrahim

Kerajaan nekad laksana subsidi bersasar pulihkan ekonomi negara – Anwar Ibrahim

CYBERJAYA: Kerajaan bakal laksana subsidi bersasar khususnya ke atas RON95 dan diesel sebagai langkah untuk pulihkan ekonomi negara walaupun dianggap tidak popular.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu sudah dibincang dan dipersetujui oleh kerajaan terdahulu namun tidak dilaksanakan kerana dianggap tidak popular.

Katanya, kerajaan bertekad untuk melaksanakan subsidi bersasar itu.

Anwar berkata, kerajaan mengambil tindakan bertanggungjawab dalam melaksana program penyasaran subsidi kepada rakyat.

“Kerajaan ini kerajaan yang berani untuk menyelamatkan ekonomi negara dan kita akan laksanakan (subsidi bersasar).

“Di mana rakyat merasakan mereka rugi dalam belanja minyak, kita tampung. Ini adalah dasar bertanggungjawab dan inilah reformasi,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Tambahnya, kerajaan akan memberi jaminan kepada rakyat yang terkesan dalam penyasaran subsidi itu menerusi pemberian tunai bulanan.

“Sekarang kalau tanya (berkaitan) subsidi minyak dan diesel, secara rasionalnya apa yang kita lakukan, sebab minyak yang kita subsidi, yang setiap hari digunakan, itu menguntungkan semua rakyat. 

“Mereka yang paling kaya pun dapat subsidi. Ini kerja tak cerdik. Seramai 3.5 juta orang asing pun dapat subsidi.

“Kalau (harga minyak) naik, kita bagi suntikan langsung kepada rakyat. (Contoh beban perbelanjaan disebabkan harga minyak naik) naik RM100 sebulan, kita bagi RM100, ada masalah ke? Nak bantah sebab apa? 

“Ini kaedah (pemberian tunai) kita fikir punya lama, puluh tahun dibincang, puluh tahun juga kerajaan (terdahulu) setuju, tapi tak berani untuk dilaksanakan sebab dia takut tak popular,” katanya.

Menyentuh mengenai keadaan ekonomi dunia yang mencabar dan tidak menentu, Anwar berkata, Malaysia masih berupaya mencatatkan kadar pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan.

“KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) Malaysia, yang kita catat 3.7 peratus (walaupun) sepatutnya lebih tinggi. Tapi perbandingan berapa negara, kita lebih baik. Singapura (mencatatkan KDNK) 1.1 peratus, Thailand 1.9 peratus, Amerika Syarikat (AS) 2.5 peratus, United Kingdom (UK) 0.1 peratus dan Korea Selatan, 1.4 peratus.

“Kadar pengangguran dan inflasi kita pun turun. Eksport kita sejak Januari lalu menyaksikan peningkatan 8.7 peratus,” katanya.

Terdahulu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan pemberian subsidi bersasar dalam bentuk pindahan tunai secara bulanan, kali pertama ditawarkan kepada rakyat berbanding sebelum ini.

Author

Pilihan Editor