HomeBeritaMCMC panggil 3 individu rakam keterangan

MCMC panggil 3 individu rakam keterangan

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan memanggil tiga individu untuk memberi keterangan pada Rabu.

MCMC menerusi kenyataan pada Selasa memaklumkan, tiga individu tersebut adalah Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shahahrin atau Chegu Bard; pempengaruh media sosial, Salim Iskandar; dan blogger kontroversi, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo.

Menurut MCMC, rakaman percakapan Chegubard dan Salim Iskandar akan dijalankan di ibu pejabat suruhanjaya tersebut di Cyberjaya.

Sementara itu, katanya, Papagomo pula akan dirakam keterangan di Balai Polis Setapak dekat ibu negara.

Tambahnya, rakaman percakapan itu dibuat susulan aduan berhubung kandungan yang dimuat naik ketiga-tiga individu tersebut menerusi laman media sosial.

“Kandungan itu disyaki melanggar peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

“Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.

Pada masa sama, MCMC turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan perkhidmatan rangkaian dan aplikasi dalam talian, untuk menyebarkan sebarang kandungan tidak sahih atau palsu.

Januari lalu, Chegubard, Papagomo dan Salim Iskandar pernah dipanggil Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan berhubung gerakan ‘Langkah Dubai’ untuk menggulingkan kerajaan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Author

Pilihan Editor