HomeBeritaPolis ambil keterangan 11 saksi kes tembak KLIA

Polis ambil keterangan 11 saksi kes tembak KLIA

LAPANGAN Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 1 (KLIA 1) di Sepang, Selangor pada Ahad pagi digemparkan dengan tindakan seorang lelaki, yang melepaskan dua das tembakan ke arah isterinya di balai ketibaan.

Namun, satu das tembakan itu sebaliknya tersasar, manakala satu lagi das terkena salah seorang pengawal peribadi kepada isterinya dalam kejadian pada kira-kira jam 1.30 pagi tersebut.

Susulan itu, pengawal peribadi tersebut mengalami kecederaan parah dan kini dirawat di sebuah hospital.

Sementara itu, seramai 11 saksi sudah pun diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung insiden terbabit.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, antara yang telah memberi keterangan ialah pengawal peribadi yang terkena tembakan, isteri suspek, pengawal keselamatan di lapangan terbang, anggota polis dan juga doktor yang memberikan rawatan.

“Kita akan panggil beberapa lagi saksi, (termasuk) yang terlibat dalam perniagaan, ahli keluarga (suspek dan mangsa) serta beberapa lagi individu yang boleh membantu siasatan,” katanya seperti dilapor Bernama.

Dalam perkembangan sama, Hussein berkata, polis tidak mengambil tindakan drastik untuk menangkap suspek ketika kejadian kerana mengutamakan keselamatan orang awam.

Beliau berkata, kaedah ‘engage‘ atau mendekati suspek tidak digunakan ketika kejadian memandangkan kawasan lapangan terbang ialah tumpuan awam.

“Lebih baik kita keluarkan dia (suspek) dari kawasan itu dan selamatkan orang awam. Itu kaedah terbaik dari ‘engage‘ dengan suspek yang bersenjata api,” katanya.

Pihaknya juga percaya bahawa, tindakan dan respons polis serta pihak keselamatan lapangan terbang adalah cepat dan terbaik.

“Kalau kita ‘engage‘ dengan dia (suspek) keadaan akan lebih buruk. Dia akan lepas tembakan dan di situ adalah kawasan awam yang ramai orang, kanak-kanak pun ada,” katanya.

Jelasnya, keadaan mangsa kini adalah stabil dan masih menerima beberapa siri rawatan.

Terdahulu, polis menegaskan bahawa, insiden itu adalah bersifat peribadi dan tidak
tidak melibatkan sebarang aktiviti keganasan atau mana-mana kumpulan.

Malah, identiti dan usaha memburu suspek yang dipercayai melarikan diri ke arah utara tanah air itu kini sedang giat dijalankan.

 

Author

Pilihan Editor