HomeBeritaKPKM tak lindungi pihak terlibat kartel padi, beras

KPKM tak lindungi pihak terlibat kartel padi, beras

KEMENTERIAN Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan tidak akan melindungi mana-mana pihak yang terlibat dengan aktiviti kartel padi dan beras di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan, KPKM juga tidak akan mencampuri sebarang urusan siasatan dibuat oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) berhubung perkara tersebut.

“KPKM tiada halangan dan sentiasa bersedia memberikan sebarang maklumat kepada MyCC pada bila-bila masa diperlukan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan sesetengah pihak berhubung isu kewujudan kartel padi dan beras.

Menurutnya, soalan berkenaan sudah pun dijawab beberapa kali kepada media, namun kemungkinan ada yang terlepas pandang.

“Antara skop tugas MyCC ini adalah menyiasat kewujudan kartel dalam ekonomi negara kita.

“Moga penjelasan ini dapat memberikan pencerahan kepada semua,” katanya.

Januari lalu, KPKM menafikan dakwaan kewujudan kartel atau ‘mafia’ yang menentukan harga padi, beras dan benih padi di negara ini.

Menurut KPKM, industri padi dan beras negara dikawal selia oleh Kawalselia Padi dan Beras (KPB) melalui Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) dan menerusi akta itu, kementerian melaksanakan aktiviti kawal selia melalui pelesenan dan penguatkuasaan untuk memastikan industri padi dan beras berkembang secara sihat dan teratur.

Tambah KPKM, sebanyak 39,000 lesen telah dikeluarkan pihaknya merangkumi Lesen Borong Beras; Lesen Eksport; Lesen Import; Lesen Kilang Padi; Lesen Membeli Padi; Lesen Beras Runcit dan Kelulusan Khas Menjual Benih Padi bagi benih padi sah (BPS).

Menurut kementerian itu, pengeluaran lesen tersebut jelas menunjukkan tiada kartel atau mafia yang dimaksudkan wujud serta mampu memonopoli industri padi dan beras.

Pada masa sama, KPKM memberitahu, sebanyak 72,000 tan metrik BPS bagi memenuhi keperluan pesawah telah diperuntukkan tahun lalu.

 

Author

Pilihan Editor