SEBARANG program dan aktiviti yang dijadual dihadiri seorang profesor dipercayai pro-Israel sebagai penceramah jemputan ke Universiti Malaya (UM) diarahkan untuk dibatalkan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, beliau turut meminta universiti tersebut untuk menyiasat perkara itu dan melaporkan segera butiran lanjut.
“Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengambil maklum dan memandang serius isu yang berlaku berhubung tindakan seorang penceramah warga asing mengeluarkan kenyataan, yang dilihat mencetuskan kontroversi dan tidak menghormati sentimen masyarakat seperti tular di media sosial.
“Susulan itu, saya mengarahkan sebarang program dan aktiviti yang dijadual dihadiri penceramah itu dibatalkan segera,” katanya menerusi kenyataan.
Pada masa sama, Zambry turut mengingatkan setiap agensi dan institusi di bawah KPT agar peka, berhati-hati dan membuat semakan latar belakang dengan teliti, sebelum menjemput mana-mana individu atau pihak ke majlis dan program yang dianjurkan.
Beliau berkata, setiap keputusan yang diambil perlu mengambil kira sensitiviti dan selari dengan polisi serta pendirian kerajaan.
“Walaupun Institut Pendidikan Tinggi (IPT) diberi autonomi untuk memutuskan program-program intelektual, tetapi itu bukan bermakna institusi bebas secara mutlak sehingga tidak mengambil kira sensitiviti masyarakat dan majoriti rakyat Malaysia,” katanya.
Terdahulu, UM menerima kecaman kerana didakwa menjemput seorang ahli akademik Amerika Syarikat (AS), Bruce Gilley yang didakwa pro-zionis dan menuduh ahli politik Malaysia yang menyokong perjuangan Palestin sebagai menyebarkan kebencian terhadap Yahudi.
Gilley yang juga Profesor Politik dan Hal Ehwal Global di Universiti Portland, AS membuat hantaran di laman X sebelum mendapat kecaman ramai.