HomeBeritaDua 'pak guard' warga asing dicekup miliki MyKad palsu 

Dua ‘pak guard’ warga asing dicekup miliki MyKad palsu 

 

KUALA LUMPUR: Dua lelaki warga asing yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dicekup miliki kad pengenalan warga tempatan dalam operasi penguatkuasaan di sekitar Alam Damai, di sini, pada Rabu.

Bahagian Penguatkuasa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berkata, serbuan dijalankan susulan risikan dan pemantauan selama dua minggu.

“Seorang individu berasal dari Indonesia berusia 23 tahun, manakala seorang lagi individu berkenaan berasal dari Filipina berusia 21 tahun.

“Mereka memperolehi kad pengenalan itu dengan meminjam daripada rakan kenalan sebagai identiti diri mereka untuk mendapatkan pekerjaan, tanpa sebarang bayaran,” katanya seperti yang dilaporkan Harian Metro.

Berdasarkan siasatan awal, kedua-dua suspek didapati menggunakan kad pengenalan berkenaan antara dua hingga enam tahun lalu.

“Kedua-dua individu akan dihadapkan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur dan boleh disabitkan atas kesalahan mengikut Peraturan 25(1)(e)Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990.

“Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak melebihi RM30,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Author

Pilihan Editor