RAJA Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan melawat dan menyantuni keluarga salah seorang wira yang terkorban dalam nahas dua helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut, Perak, Selasa lalu.
Menerusi hantaran di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Raja Permaisuri Agong berkenan berangkat mengadakan lawatan ke kediaman keluarga Allahyarham Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi di Taman Senawang Perdana, Negeri Sembilan pada Ahad.
Menurut hantaran itu, suasana pilu menyelubungi kediaman Pegawai Taktikal Udara Skuadron 503 itu ketika lawatan Raja Permaisuri Agong bertemu balu Allahyarham, Siti Aisyah Mohd Roslan.
Raja Zarith Sofiah juga berkenan menyantuni dua anak lelaki Allahyarham yang berusia tujuh dan dua tahun.
“Seri Paduka Baginda meluangkan masa bertanyakan khabar balu, kedua ibu bapa dan dua adik arwah sebelum mengurniakan sumbangan peribadi kepada Siti Aisyah,” menurut hantaran itu.
Turut mengiringi keberangkatan Raja Permaisuri Agong adalah isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; isteri Menteri Pertahanan, Datin Seri Rosni Omar; dan isteri Timbalan Menteri Pertahanan, Dalilah Awaludin.
Mohammad Amirulfaris, 35, adalah antara 10 anggota dan pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terkorban dalam nahas dua helikopter milik TLDM terhempas di Lumut semasa menjalani raptai lintas hormat bersempena dengan sambutan Ulang Tahun TLDM ke-90.
Jenazah Mohammad Amirulfaris selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Senawang, Negeri Sembilan pada Khamis lepas.
Terdahulu, kedua-dua pesawat jenis Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan helikopter Fennec TLDM itu berlepas dari Padang Sitiawan pada jam 9.03 pagi Selasa, sebelum kedua-duanya dilapor bertembung ketika menyertai formasi penerbangan.
Susulan pertembungan itu, pesawat HOM yang dinaiki tujuh kru terhempas di Stadium TLDM Lumut, manakala pesawat Fennec yang membawa tiga lagi individu terhempas di kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut.
TLDM mengesahkan bahawa, 10 kru iaitu masing-masing tujuh kru HOM TLDM dan tiga kru Fennec TLDM terkorban di lokasi kejadian.