HomeGlobalRugi RM2.6 juta, wanita saman bekas kekasih curang

Rugi RM2.6 juta, wanita saman bekas kekasih curang

SEORANG wanita bertindak mengambil tindakan terhadap bekas teman lelakinya di mahkamah, selepas dirinya didakwa dianiaya dan didera secara fizikal.

Wanita yang dikenali sebagai Li itu berkata, dia dipukul dengan kejam manakala lelaki tersebut juga enggan memulangkan wang tunai serta barangan mewah bernilai 4 juta yuan (RM2.6 juta) ketika mereka mengadakan janji temu.

Menurut Li yang berasal dari Beijing, China, dia mula mengenali Deng pada 2019 ketika lelaki itu bekerja sebagai pemandu e-hailing.

Namun, hubungan mereka sebagai kekasih putus di tengah jalan pada 2021, selepas Li mengetahui bahawa Deng berlaku curang dan tinggal sebumbung bersama wanita lain.

Li seterusnya memutuskan untuk mengambil tindakan saman terhadap lelaki itu selepas mengetahui dirinya dicurangi.

Berang dengan perkara itu, Deng bertindak menyerbu ke rumah Li dan menyerang wanita tersebut.

“Dia memukul saya dengan sangat kuat sehingga saya fikir dia berniat untuk membunuh saya,” katanya seperti dilapor South China Morning Post.

Sepanjang dua tahun hubungan bersama Deng, Li berkata, dia sudah pun membelikan barangan mewah dan memindahkan kira-kira dua juta yuan (RM1.08 juta) ke akaun bank lelaki berkenaan.

“Lelaki itu berkata bahawa sekiranya saya mahu hubungan kami diteruskan, maka saya harus terus memberinya wang dan membelikannya barangan yang bagus.

“Dia bukan berhubungan dengan saya kerana cinta, tetapi hanya untuk wang,” katanya.

Deng menambah bahawa, mereka memiliki akaun bank bersama manakala wang di dalamnya hanya digunakan ketika mereka sedang dalam hubungan.

“Saya mahu dia pergi dari hidup saya selama-lamanya kerana dia telah mengganggu saya dalam tempoh terlalu lama,” ujarnya.

 

Author

Pilihan Editor