SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa amat sedih dan dukacita, susulan tragedi menyayat hati dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terhempas di Lumut, Perak pada Selasa pagi.
Menerusi hantaran di laman Facebook Selangor Royal Office, Sultan Selangor yang juga Kapten Yang Dipertua TLDM turut menzahirkan rasa terkejut dengan kejadian yang berlaku sewaktu sesi raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90.
Pada masa sama, Sultan Sharafuddin turut menyifatkan kematian 10 anggota itu sebagai satu kehilangan besar buat TLDM dan juga negara.
“Beta juga ingin menyampaikan ucapan takziah kepada waris dan keluarga anggota TLDM yang terkorban dan berharap semoga mereka tabah menghadapi dugaan ini.
“Beta amat menghargai jasa, bakti dan pengorbanan anggota TLDM yang gugur semasa bertugas serta mendoakan semoga roh mereka dicucuri rahmat-Nya dan bersemadi dengan aman,” titah baginda.
Terdahulu, kedua-dua pesawat jenis Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan helikopter Fennec TLDM itu berlepas dari Padang Sitiawan pada jam 9.03 pagi, sebelum kedua-duanya bertembung ketika menyertai formasi penerbangan.
Susulan pertembungan itu, pesawat HOM yang dinaiki tujuh kru terhempas di Stadium TLDM Lumut, manakala pesawat Fennec yang membawa tiga lagi individu terhempas di kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut.
TLDM mengesahkan bahawa, 10 kru iaitu masing-masing tujuh kru HOM TLDM dan tiga kru Fennec TLDM terkorban di lokasi kejadian, manakala mayat mereka dihantar ke Hospital Angkatan Tentera Pangkalan TLDM Lumut untuk proses pengecaman.
Berdasarkan maklumat dikongsi TLDM, tujuh kru yang menaiki Pesawat HOM (M503-3) dikenal pasti sebagai Komander Muhammad Firdaus Ramli; Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin; Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi; Muhammad Faisol Tamadun; Noorfarahimi Mohd Saedy, Noor Rahiza Anuar dan Joanna Felicia anak Rohna.
Tiga lagi kru menaiki Pesawat Fennec dikenali Komander Muhamad Amir Mohamad; Leftenan T Sivasutan dan Mohd Shahrizan Mohd Termizi.