HomeBeritaMCMC gesa henti sebar video tragedi helikopter TLDM terhempas

MCMC gesa henti sebar video tragedi helikopter TLDM terhempas

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menasihatkan orang ramai untuk tidak memuat naik atau menyebarkan video insiden dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terhempas di Lumut, Perak pada Selasa pagi.

MCMC menerusi kenyataan pada Selasa memaklumkan, perkara tersebut penting bagi mengelak sebarang kesalahan dilakukan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).

“Sebagai badan berkanun yang mengawal selia penggunaan kemudahan rangkaian dan perkhidmatan rangkaian, MCMC ingin memaklumkan orang awam bahawa penghantaran komunikasi yang mempunyai ciri-ciri mengancam, menyakitkan hati atau mengganggu orang lain, adalah satu perbuatan yang dilarang mengikut AKM 1998.

“MCMC juga menasihatkan mana-mana pihak yang telah memuat naik video melibatkan insiden berkenaan untuk memadamkannya.

“Pengguna internet perlu lebih sensitif dan menghormati keluarga mangsa yang ketika ini sedang bersedih di atas kejadian yang menimpa ahli keluarga mereka,” menurut kenyataan tersebut.

Terdahulu, kedua-dua pesawat jenis Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan helikopter Fennec TLDM itu berlepas dari Padang Sitiawan pada jam 9.03 pagi bagi menjalani raptai untuk bersempena dengan sambutan Ulang Tahun Perbarisan TLDM ke-90.

Kedua-duanya kemudian dilapor bertembung ketika menyertai formasi penerbangan.

Susulan pertembungan itu, pesawat HOM yang dinaiki tujuh kru terhempas di Stadium TLDM Lumut, manakala pesawat Fennec yang membawa tiga lagi individu terhempas di kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut.

TLDM mengesahkan bahawa, 10 kru iaitu masing-masing tujuh kru HOM TLDM dan tiga kru Fennec TLDM terkorban di lokasi kejadian, manakala mayat mereka dihantar ke Hospital Angkatan Tentera Pangkalan TLDM Lumut untuk proses pengecaman.

Berdasarkan maklumat dikongsi TLDM, tujuh kru yang menaiki Pesawat HOM (M503-3) dikenal pasti sebagai Komander Muhammad Firdaus Ramli; Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin; Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi; Muhammad Faisol Tamadun; Noorfarahimi Mohd Saedy, Noor Rahiza Anuar dan Joanna Felicia anak Rohna.

Tiga lagi kru menaiki Pesawat Fennec dikenali Komander Muhamad Amir Mohamad; Leftenan T Sivasutan dan Mohd Shahrizan Mohd Termizi.

 

Author

Pilihan Editor