HomeGaya HidupSyawal masa sesuai hubungkan kembali silaturahim

Syawal masa sesuai hubungkan kembali silaturahim

AKTIVITI ziarah merupakan satu amalan yang dituntut dalam Islam bagi memenuhi hak-hak sesama manusia, sama ada bagi merapatkan hubungan persaudaraan atau sebagai tanda mengambil berat terhadap keadaan insan lain.

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan menerusi khutbah bertajuk Ziarah Tautkan Ukhuwah pada Jumaat mengingatkan umat Islam, supaya menjadikan bulan Syawal sebagai masa paling sesuai untuk menghubungkan kembali silaturahim.

“Mungkin sebelum ini di antara kita ada berlaku salah faham atau perselisihan yang membawa kepada bermasam muka dan tidak bertegur sapa.

“Maka, ambillah peluang bulan yang penuh berkat ini untuk mengeratkan kembali hubungan yang kian pudar.

“Sesungguhnya, Islam sangat menggalakkan penganutnya agar sentiasa memperbaiki dan mempertingkatkan hubungan persaudaraan,” katanya.

Jelas khutbah, antara maksud silaturahim adalah menyambung hubungan antara kaum kerabat sama ada melalui jalur keturunan atau melalui perkahwinan dengan pelbagai cara termasuk berkunjung, memberi bantuan ketika diperlukan serta mengambil cakna akan keadaan mereka.

Namun, katanya, silaturahim boleh terputus akibat daripada pertengkaran atau perselisihan disebabkan oleh harta benda, pusaka, fitnah, hasutan, dengki, sifat sombong dan pentingkan diri sendiri.

Lebih teruk, permusuhan dan pergeseran itu boleh berlaku secara berpanjangan, sekiranya tiada kesedaran dalam diri kedua-dua pihak atau tiada sesiapa yang meleraikan mahu pun mendamaikan permusuhan tersebut.

“Sebenarnya tanggungjawab untuk membina semula silaturahim yang terputus bukan sahaja terletak pada pihak bermusuhan, tetapi keluarga atau kawan-kawan juga boleh memainkan peranan dalam mendamaikan dan menyambung semula ikatan silaturahim yang terputus,” katanya.

Tambah khutbah, mutakhir ini terdapat kecenderungan masyarakat mengambil peluang cuti pada bulan Syawal, untuk melancong ke luar negara atau menghabiskan masa di dalam rumah berbanding keluar berziarah.

Katanya, budaya tersebut perlu diubah kerana ia tidak menepati tujuan sambutan hari raya sebagai syiar Islam.

“Inilah kesempatan serta waktu yang paling sesuai untuk kita merapatkan hubungan kekeluargaan dan tali persaudaraan.

“Ibarat kata bijak pandai: Yang Jauh kita dekatkan, yang dekat kita rapatkan dan yang rapat kita mesrakan.

“Jika kita tidak ada keinginan untuk menziarahi sanak saudara, bagaimana kita dapat mengukuhkan ukhuwah kita lebih-lebih lagi dengan kekangan kerja yang membataskan aktiviti kita untuk mendekati saudara-mara pada hari-hari yang lain?” soal khutbah.

Malah, khutbah turut menjelaskan bahawa, fenomena ketagihan masyarakat terhadap media sosial merencatkan objektif amalan ziarah untuk saling beramah mesra, menyantuni atau berbual bersama keluarga tuan rumah.

Katanya, masyarakat adakalanya masih lagi leka bersembang menerusi media sosial dan mengemaskini status sama ada di Facebook, TikTok, Instagram dan sebagainya ketika berkunjung ke rumah taulan dan jiran tetangga.

“Sedarlah, tindakan ini menyebabkan tercalarnya adab dan akhlak serta sedikit sebanyak mengganggu interaksi sesama kita, dengan berkurangnya komunikasi di antara tuan rumah dan tetamu.

“Mimbar mengingatkan, jika perkara ini juga diambil mudah, tidak mustahil suatu hari nanti, lunturnya semangat ukhuwah dalam kalangan masyarakat Islam dan masing-masing
akan hidup mementingkan diri sendiri sahaja,” ujarnya.

 

Author

Pilihan Editor