HomeBeritaWarga Israel mengaku tak bersalah miliki pistol, peluru

Warga Israel mengaku tak bersalah miliki pistol, peluru

LELAKI warga Israel yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat mengaku tidak bersalah, atas dakwaan memiliki enam pistol jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sig Sauer dan Stoeger serta 158 peluru, pada Mac lalu.

Sebaliknya, Avitan Shalom yang memiliki pasport kewarganegaraan Perancis itu meminta untuk dibicarakan, selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Tasnim Abu Bakar.

“Saya faham tuduhan, tidak bersalah,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Shalom yang memakai baju T hitam berseluar khaki warna hijau dan dikawal ketat empat anggota polis di kiri, kanan dan belakang kandang tertuduh , didakwa berdagang enam pucuk pistol di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Ampang, Kuala Lumpur di antara jam 6.46 petang 26 Mac dan 6 petang 28 Mac lalu.

Tertuduh menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat), yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan disebat tidak kurang daripada enam kali, jika sabit kesalahan.

Shalom dibawa masuk ke bilik mahkamah pada jam 9.30 pagi Jumaat dan dikawal ketat empat anggota polis memakai penutup muka.

Dalam prosiding pada Jumaat, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam yang mewakili pendakwaan memberitahu mahkamah, pihaknya tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun, peguam belanya, Navinjit Singh bersetuju dengan cadangan pihak pendakwaan dan tidak mengemukakan sebarang bantahan.

Mahkamah kemudian tidak memberikan jaminan kepada tertuduh dan menetapkan sebutan kes pada 21 Mei ini.

Sharifah Faraha Syed Husin, 41, didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) (FIPAA) kerana memiliki pistol itu, manakala Abdul Azim Mohd Yasin, 43, mengikut Seksyen 9 akta sama kerana bersubahat dengan Faraha apabila dia didakwa mengetahui pistol itu dalam pemilikannya.

Senarai enam pistol dan peluru yang didakwa dimiliki tertuduh

1. Glock 19 USA 9x 10 (Serial Number AEGS 286);

2. Sig Sauer P3205P (Serial Number 58C283463);

3. Cougar 8000FT (Serial Number T6429-10G002496);

4. Glock 17 Gen4 Austria 9×19 (Serial Number: BDZZ090);

5. N&P 9C Smith & Wesson Spring Field MA USA (Serial Number: DSW9077)

6. Stoeger Cougar 8000F (Serial Number 58C283463)

Peluru

1. 1 kotak Shell Shock NAS3 9mm, mengandungi 8 butir peluru (B660104);

2. 1 kotak Bullet Master Co. Ltd, mengandungi 50 butir peluru (B660105);

3. 1 kotak Bullet Master Co. Ltd, mengandungi 50 butir peluru (B660105);

4. 1 kotak Bullet Master Co Ltd, mengandungi 50 butir peluru (B660105)

 

Author

Pilihan Editor