HomeBeritaPolitikSze Han ketuai jentera PH dalam PRK Kuala Kubu Baharu

Sze Han ketuai jentera PH dalam PRK Kuala Kubu Baharu

PAKATAN Harapan (PH) melantik Setiausaha DAP Selangor, Ng Sze Han sebagai Pengarah Pilihan Raya parti iu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei depan.

Menurut Setiausaha PH Selangor, Dr Mohd Khairudin Othman, pelantikan Ng dibuat pada mesyuarat bersama kepimpinan PH Selangor pada Ahad.

Mohd Khairudin berkata, selain beliau, Sze Han yang juga Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor turut dibantu oleh Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin; dan Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof.

“Pasukan ini akan menubuhkan beberapa jawatankuasa utama dan telah sedia untuk bergerak secara rasmi bermula dari hari penamaan calon sehingga tiba hari mengundi.

“Pasukan ini juga akan menyelaras gerak kerja dan kempen yang akan dirangka oleh PH Selangor dan membuat persiapan serta menyelaras tugas berkait kempen PRK Kuala Kubu Bharu dengan PH pusat serta parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Mohd Khairudin, PH belum memutuskan calon pada PRK berkenaan kerana perkara itu masih dalam perbincangan.

Khamis lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing pada 27 April dan 7 Mei, manakala hari pengundian pada 11 Mei.

Kerusi DUN Kuala Kubu Bharu kosong susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lepas.

Lee, 58, yang menguasai kerusi di bawah Parlimen Hulu Selangor itu sejak 2013, meninggal dunia selepas beberapa tahun bergelut melawan kanser.

Author

Pilihan Editor