HomeBeritaLogo kasut mirip kalimah Allah: Usah sebar kandungan sentuh 3R

Logo kasut mirip kalimah Allah: Usah sebar kandungan sentuh 3R

ORANG ramai diingatkan supaya tidak memuat naik, berkongsi atau menyebarkan kandungan media sosial yang menyentuh sensitiviti agama, kaum dan raja (3R).

Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, sekiranya terdapat pihak cuba mengambil kesempatan, membuat hantaran atau meninggalkan komen melampaui batas yang boleh mencetuskan ketegangan antara kaum berhubung isu terbabit.

“Justeru, mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat dalam media sosial melibatkan logo kasut yang didakwa mirip kalimah Allah, untuk melaporkannya kepada pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau kepada suruhanjaya itu melalui pautan https://aduan.mcmc.gov.my, untuk tindakan selanjutnya.

“Selain itu, semua pihak juga perlu memberikan ruang kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pihak berkuasa untuk melakukan siasatan berhubung dakwaan ini,” menurutnya dalam kenyataan pada Isnin.

Terdahulu, tular foto yang memaparkan logo kasut keluaran syarikat tempatan yang didakwa seakan-akan kalimah Allah dan ia mengundang pelbagai reaksi warga siber.

Justeru, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan, JAKIM diarah memanggil pihak berkaitan untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

Pada masa sama, syarikat kasut berkenaan, Vern’s Holding Sdn Bhd memohon maaf berhubung isu lakaran logo di tapak kasut keluarannya.

Menurut pihak pengurusan syarikat, logo tersebut diilhamkan berdasarkan bayangan garisan tali yang bersambung dengan sebuah kasut tumit tinggi.

 

 

Author

Pilihan Editor