SEBANYAK 15 lokasi skrin besar di seluruh negara akan menayangkan aksi separuh akhir Piala Thomas 2024 antara Malaysia dan China pada Sabtu.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, antara lokasi yang dilaksanakan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu termasuk Dataran Merdeka di Kuala Lumpur dan Dataran Putrajaya, dekat Presint 3, Putrajaya.
Selain itu, beliau berkata, lokasi lain termasuk di SACC Mall, dekat Shah Alam Selangor, Dataran Dato’ Sheikh Ahmad (Kangar, Perlis), Kompleks Belia & Sukan Negeri Kedah (Alor Setar, Selangor), Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya, (Ipoh,Perak), Kompleks Belia & Sukan Negeri Sembilan, Paroi (Seremban, Negeri Sembilan), Dataran Bandaraya MBMB (Ayer Keroh, Melaka), dan Toppen Shopping Centre, (Johor Bahru, Johor).
Turut tersenarai adalah Dataran Kolej Polytech Mara (Kota Bharu, Kelantan), Ali Spices Kampung Ladang Tanjung (Kuala Terengganu, Terengganu), Padang MBK 1 (Kuantan, Pahang), Kompleks Belia & Sukan Negeri Sarawak (Kuching, Sarawak), Kompleks Belia & Sukan Negeri Sabah (Putatan, Sabah) dan Gelanggang Futsal Hassan Sani, Kompleks Sukan Labuan (Sabah).
Pada masa sama, Hannah turut menitipkan kata-kata semangat bagi mengajak orang ramai sama-sama menyaksikan aksi separuh akhir yang berlangsung pada jam 5 petang.
“Come out and cheer for our boys this Saturday! (Marilah kita sama-sama berikan sorakan kepada skuad negara pada Sabtu ini!),” tulisnya di laman Facebook pada Jumaat.
Pada Khamis, Malaysia melangkah ke separuh akhir Piala Thomas 2024 selepas lapan tahun, apabila menyingkirkan bekas juara edisi 2014, Jepun 3-1 di Pusat Sukan Chengdu Hi-Tech Zone, China.
China melangkah ke separuh akhir, selepas mengalahkan juara bertahan India 3-1 dalam satu lagi aksi suku akhir pada hari sama.