HomeBeritaPekerja bengkel maut, rakan parah tayar jentolak meletup

Pekerja bengkel maut, rakan parah tayar jentolak meletup

SEORANG pekerja bengkel maut, manakala seorang lagi parah selepas tayar jentolak tiba-tiba meletup di sebuah pusat servis di Bandar Baru Sungai, dekat Sungai Buloh, Selangor pada Selasa lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor, ketika kejadian dua lelaki tempatan berusia 19 dan 21 tahun sedang mengisi angin ke dalam tayar jentolak berkenaan kira-kira jam 12.40 tengah hari.

“Ketika mangsa sedang mengisi angin tayar jentolak, tiba-tiba ia meletup dan terkena kedua-dua mangsa.

“Mangsa berusia 19 tahun maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi mangsa yang parah dibawa ke Hospital Sungai Buloh,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sejak Khamis, gambar memaparkan dua lelaki dipercayai mangsa berkenaan terbaring dalam keadaan berlumuran darah dan cedera di kepala tular di media sosial

Gambar itu disertakan dengan pesanan suara seorang lelaki yang mendakwa, kejadian tersebut berlaku di sebuah bengkel di sekitar Kajang.

Sehubungan itu, Mohd Hafiz menasihatkan orang awam supaya tidak sebarang membuat spekulasi atau menyebarkan gambar berkenaan.

Katanya, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

Author

Pilihan Editor