HomeBeritaMalaysia tambah 10 kontena dalam misi bantuan ke Gaza

Malaysia tambah 10 kontena dalam misi bantuan ke Gaza

MALAYSIA kekal prihatin terhadap nasib rakyat Palestin, apabila mengambil langkah untuk menambah sebanyak 10 lagi kontena Bantuan Kemanusiaan Kecemasan ke Gaza.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, jumlah itu sekali gus menyaksikan keseluruhan kontena yang dihantar adalah sebanyak 110.

Nik Nazmi berkata, kontena itu mengandungi makanan asas seperti beras dan tepung selain kit kebersihan diri termasuk tuala wanita.

“Penambahan 10 lagi buah kontena menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 110 buah kontena dengan nilai RM12 juta yang boleh memanfaatkan 60,000 keluarga di Gaza,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Selasa.

Pada Isnin, Nik Nazmi mewakili Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada pelancaran misi Bantuan Kemanusiaan Kecemasan ke Gaza di Kaherah, Mesir.

Turut hadir pada pelancaran misi bantuan oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) itu ialah Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid dan ketua misi bantuan, Sani Araby Abdul Alim Araby.

Penghantaran 100 kontena yang merangkumi 1,358 tan barangan ke Gaza sebelum ini telah dilancarkan Ahmad Zahid, di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja (TUDM) Subang, Selangor pada 23 Mac lepas.

Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata, hubungan diplomatik yang baik antara Malaysia dan Mesir termasuk peranan langsung Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membolehkan kontena Malaysia yang membawa barangan bantuan itu melalui perjalanan lancar.

Beliau juga menegaskan, Malaysia akan kekal lantang dan ‘punching above our weight‘ dalam isu kemanusiaan seperti aparteid, Palestin dan Bosnia yang menjadi tradisi sejak awal kemerdekaan negara.

“Dunia maju bercakap tentang sifar bersih karbon, tetapi tidak tegas isu letupan berterusan, pencemaran air kritikal dan kerosakan tanah di Gaza,” katanya.

 

Author

Pilihan Editor