DUA suspek yang disyaki terlibat dalam kejadian tembakan di Kampung Alor Pinggan, Gelang Mas, dekat Pasir Mas, Kelantan awal pagi Sabtu kini menjadi buruan pihak polis.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kedua-dua suspek disyaki menggunakan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 ketika kejadian.
Menurutnya, polis bagaimanapun masih belum dapat mengenal pasti warganegara individu terbabit serta nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan.
“Berdasarkan laporan yang dibuat pada jam 4.42 pagi, pengadu terdengar bunyi empat das tembakan di luar rumahnya kira-kira jam 3 pagi ketika sedang tidur bersama sepupunya.
“Dia dan sepupunya kemudian terus bergegas ke pintu utama dan mendapati dua lelaki menggunakan sebuah motosikal memecut laju ke arah Bunut Susu, Pasir Mas,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Muhamad Zaki berkata, pengadu mendapati, kereta Perodua Viva warna ungu milik sepupunya ditembak pada sisi kiri cermin belakang kereta.
Beliau berkata, pemeriksaan sepasukan polis di lokasi kejadian pula mendapati, terdapat kesan tembakan pada kenderaan itu, manakala kereta Mitsubishi Triton ditembak di fender kiri.
“Pemeriksaan di kawasan hadapan rumah itu menemui empat kelongsong peluru disyaki jenis 9 milimeter (mm), ” katanya.
Namun, katanya, tiada individu yang cedera dalam kejadian itu dan kes disiasat mengikut seksyen 39 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
“Motif kejadian juga masih disiasat,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan, seorang pemandu lori terkejut dan bingung selepas terdengar tembakan di pekarangan rumahnya ketika sedang tidur dalam kejadian jam 3 pagi Sabtu.
Lelaki berusia 30-an berkenaan terus bergegas melihat kawasan sekitar dan mendapati terdapat kesan tembakan pada dua kenderaannya.