YANG di-Pertua Dewan Negara, Datuk Mutang Tagal kini menerima rawatan perubatan di sebuah hospital di ibu negara, susulan masalah kesihatan yang dialami ketika berada di Azerbaijan.
Menurut kenyataan pejabat Yang di-Pertua Dewan Negara, Mutang tiba di tanah air dari Azerbaijan pada jam 1 pagi Isnin setelah berada di negara itu untuk lawatan kerja mulai 29 April lalu dan pulang lebih awal daripada jadualnya.
Susulan itu, senator mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak di Malaysia dan Azerbaijan yang membantu urusan rawatan beliau di negara itu dan urusan pulang ke Malaysia bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih di atas ingatan serta doa untuk kesembuhannya dan menghargai ruang masa yang diberikan kepada beliau dan keluarga sepanjang tempoh rawatan ini,” menurut kenyataan pada Isnin.
Mutang mengetuai delegasi Malaysia untuk menghadiri Forum Dunia mengenai Dialog Antara Budaya yang berlangsung pada 1 Mei sehingga 3 Mei di Baku, Azerbaijan.
Sebelum menghadiri forum tersebut, beliau melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden, Ilham Aliyev; Perdana Menteri, Ali Asadov; dan Speaker Milli Majlis Republik Azerbaijan, Sahiba Gafarova; serta menghadiri mesyuarat dan taklimat oleh pemain industri di negara itu.