HomeBerita'Tindakan berunsur samseng terhadap Faisal, Akhyar melampau'

‘Tindakan berunsur samseng terhadap Faisal, Akhyar melampau’

MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan bahawa, serangan ke atas dua pemain bola sepak kebangsaan baru-baru ini tidak sewajarnya berlaku.

Menerusi hantaran di laman Facebook, Amirudin menyifatkan tindakan berunsur samseng terhadap penyerang Selangor FC, Faisal Halim dan pemain sayap lincah Terengganu FC, Akhyar Rashid itu sebagai melampau.

“Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak berperikemanusiaan terhadap saudara Faisal Halim pemain bola sepak Selangor FC dan Akhyar Rashid pemain pasukan kebangsaan baru-baru ini.

“Saya menggesa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan siasatan menyeluruh dan mendoakan agar kedua-dua pemain ini diberi kesembuhan segera InsyaAllah,” tulisnya.

Dalam kejadian petang Ahad, Faisal menjadi mangsa disimbah asid oleh individu tidak dikenali selepas bermain go-kart di sebuah pusat beli-belah terkenal.

Susulan itu, pemain tersebut disahkan mengalami kelecuran tahap dua pada beberapa bahagian tubuh iaitu pada sekitar leher, bahu, lengan dan dada.

Khamis lalu, Akhyar dipukul dan disamun sehingga menerima jahitan di kepala serta kaki, selain mengalami kerugian RM4,800 apabila telefon bimbit dan dompet dilarikan.

Author

Pilihan Editor