HomeBeritaUiTM kekal dasar ambil pelajar sedia, fokus agenda perkasa Bumiputera

UiTM kekal dasar ambil pelajar sedia, fokus agenda perkasa Bumiputera

UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) terus mengekalkan dasar pengambilan pelajar sedia ada bagi memfokuskan agenda pemerkasaan Bumiputera dengan lebih baik.

Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib berkata, tiada sebarang perbincangan atau cadangan mengenai perubahan dasar oleh mana-mana mesyuarat.

Beliau yang juga Pengerusi Senat UiTM menegaskan, pihak universiti akan terus berpegang teguh dengan prinsip penubuhannya seperti yang tertulis dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Saya ingin tegaskan bahawa, pengambilan pelajar sedia ada akan terus dikekalkan dan tiada sebarang perbincangan atau cadangan mengenai perubahan dasar ini dalam mana-mana mesyuarat Senat UiTM mahu pun Mesyuarat Eksekutif Universiti.

“Pendirian ini adalah sejajar dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, yang turut menekankan objektif asal penubuhan UiTM.

“Pihak universiti akan terus berpegang teguh kepada Fasal 1A Akta 173, yang menyatakan UiTM ditubuhkan menurut dan mengikut peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Kami akan terus menjalankan misi dan visi institusi ini untuk memperkasakan Bumiputera,” katanya dalam kenyataan.

Pada 25 April lalu, portal berita kesihatan melaporkan Anggota Lembaga Program Parallel Pathway UiTM-IJN, Raja Amin Raja Mokhtar sebagai berkata, UiTM bersetuju membuka laluan kepada pelatih bukan Bumiputera bagi mendapatkan pendidikan lanjutan bidang kardiotoraks di universiti berkenaan.

UiTM merupakan satu-satunya universiti yang menawarkan program parallel pathway, dengan kerjasama Institut Jantung Negara (IJN) dalam bidang kardiotoraks.

Susulan itu, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM menyeru mahasiswa di universiti itu untuk memakai pakaian hitam pada Khamis, bagi membantah rancangan membuka UiTM kepada pelajar bukan Bumiputera.

Mereka turut meminta mahasiswa memuat naik gambar bersama tanda pagar #MahasiswaUiTMBantah di platform media sosial sebagai tanda sokongan terhadap kempen yang dilancarkan sejak Selasa.

MPP itu berkata, universiti tersebut perlu berpegang objektif asal penubuhannya iaitu memelihara kedudukan istimewa orang Melayu, Orang Asli dan pribumi Sabah serta Sarawak.

Mengulas lanjut, menurut Shahrin, semua mahasiswa perlu memberi fokus terhadap pelajaran bagi mempersiapkan diri menghadapi cabaran yang lebih besar di masa hadapan.

Ujarnya, UiTM akan terus menjadi institusi pendidikan tinggi yang memartabatkan Bumiputera melalui peluang pendidikan berkualiti.

“Inilah perjuangan hakiki seorang mahasiswa untuk mencapai kejayaan di dunia dan akhirat, serta membuktikan cinta kepada agama, bangsa, dan tanah air,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan menegaskan supaya tidak membincangkan mengenai isu membuka kemasukan kepada pelajar bukan Bumiputera di UiTM.

Menurut Zambry, isu terbabit tidak pernah dibincang dalam mana-mana mesyuarat di peringkat KPT ataupun pada mesyuarat Kabinet.

 

Author

Pilihan Editor