HomeBeritaSerangan Balai Polis Ulu Tiram: 2 anggota polis gugur, suspek ditembak mati

Serangan Balai Polis Ulu Tiram: 2 anggota polis gugur, suspek ditembak mati

DUA anggota polis maut, manakala seorang lagi cedera dalam kejadian serangan oleh seorang lelaki yang menceroboh masuk ke Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru, Johor pada awal pagi Jumaat.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, suspek turut ditembak mati di lokasi kejadian.

Menurutnya, anggota polis dan suspek yang maut dihantar ke bahagian forensik Hospital Sultan Ismail (HSI), manakala anggota yang mengalami kecederaan dirawat di hospital berkenaan.

“Pihak kita kesal dengan kejadian yang berlaku. Siasatan awal mendapati anggota ditetak dan ditembak.

“Siasatan lanjut dijalankan polis,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Difahamkan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dalam perjalanan ke lokasi kejadian.

Sebelum ini, media melaporkan, dalam kejadian jam 2 pagi Jumaat, suspek iaitu seorang lelaki bangsa tidak dikenal pasti memakai topeng dan berpakaian gelap menyerang balai polis berkenaan dengan bersenjatakan parang.

Author

Pilihan Editor