HomeHiburanSiti Nurhaliza tak akan berhenti menyanyi

Siti Nurhaliza tak akan berhenti menyanyi

GOMBAK: “Saya tak akan berhenti menyanyi,” demikian ungkapan penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin.

Siti Nurhaliza, 43, atau mesra dipanggil Tokti, cukup matang menyusun strategi dalam memberikan terbaik dalam industri muzik tempatan.

Sudah tentunya, bergelumang dan mampu berdaya tahan dalam warna-warni industri muzik negara selama 26 tahun negara bukan tempoh yang singkat dan mudah.

Misinya kali ini hanya mahu memberikan terbaik untuk negara.

Justeru, beliau tidak lagi mahu bersaing dengan penyanyi baharu, atau anak muda, sebaliknya memberi peluang dan sokongan penuh kepada mereka untuk bersinar.

“Saya tidak akan berhenti setakat itu (menyanyi), karier (nyanyian) saya sudah 26 tahun, bukan nak bersaing dengan anak-anak muda, tapi nak menghasilkan yang terbaik sahaja.

“Saya sokong industri muzik ini untuk anak-anak muda, inilah masanya untuk mereka bersinar, saya sokong segalanya,” katanya kepada MEDIA VARIASI, di sini.

Beliau ketika ini menumpukan kerjaya nyanyian dan perniagaan kosmetik, SimplySiti dan minuman jeli berkhasiat kanak-kanak, Beaukids, supaya seiring ke hadapan.

“Bagi saya, perniagaan dan bidang nyanyian, saya nak bagi seiring. Saya mahu berjaya dalam dua-dua karier,” katanya.

Siti Nurhaliza juga dalam persiapan membuat persembahan berkonsepkan amal jariah pada November ini, melalui Yayasan Nurjiwa diusahakan beliau dan suami seorang ahli perniagaan, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.

Siti Nurhaliza berkata, beliau juga cukup bersyukur, meskipun hanya satu lagu, Anakanda ‘lekat’ dalam pencalonan Lagu Pop Etnik Terbaik pada Anugerah Industri Muzik Ke-23( AIM23), yang sudah melabuhkan tirainya, 11 September lalu.

Meskipun tidak membawa pulang sebarang trofi, namun beliau tetap menzahirkan kesyukuran malah tidak akan berhenti berkarya dalam industri muzik.

Author

Pilihan Editor