HomeNiagaBunianspa penggerak rawatan kecantikan, kesihatan Melayu

Bunianspa penggerak rawatan kecantikan, kesihatan Melayu

KUALA LUMPUR: Jika kebanyakan spa menjenamakan perniagaan dengan nama moden, namun seorang wanita Melayu tekad menggunakan bunian sebagai inspirasi dalam perusahaannya.

Bunianspa_bymk diusahakan oleh Datin Mala Kori, terletak di pusat beli-belah Galaxy Ampang, di sini.

Menurut lisan orang Melayu lama, bunian lebih dikenali dalam masyarakat Melayu dan maksud asalnya adalah buni, makhluk halus atau ghaib, tersembunyi.

Bersesuaian dengan nama, Bunianspa_bymk terletak di lokasi tidak sibuk, dan diusahakan dengan konsep Melayu tradisional.

Mala Kori, 40-an, seorang wanita Melayu yang dilihat cukup manis, lemah lembut dan dihormati, malah sangat merendah diri kerana lebih selesa dipanggil Kak Mala.

Mala menjadikan dirinya sebagai penggerak elemen Melayu tradisional menerusi perniagaan spa diusahakannya.

Justeru, Mala melebarkan sayap perniagaan daripada mengasaskan produk sabun kesihatan, Mala Korr’s Malaysia kepada Bunianspa_bymk.

Ini kerana, Mala sendiri lebih suka melihat wanita Melayu berpenampilan cantik, memakai cucuk sanggul atau kuntuman bunga di telinga.

“Saya jenis tidak duduk diam. Sebelum ini saya bergerak sebagai NGO (pertubuhan bukan kerajaan), buat ‘trading’. Bila dah masuk usia 40-an ini, saya rasa saya perlu jana income daripada diri sendiri dan bantu orang lain.

“Jadi, saya memilih spa, sebab semua orang nak cantik. Pemilihan bunian spa itu juga saya rasa seperti kemelayuan, suka melawa, suka pakai bunga, jaga kesihatan dalaman.

“Spa yang ada di pasaran juga menggunakan nama moden, jadi saya lebih kepada unsur kemelayuan, urutan Melayu, walaupun kita ada mesin, tapi pelanggan tetap mahukan rawatan tradisional Melayu,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Mala berkata demikian pada program Kursus Keusahawan Majlis Pembangunan Usahawan & Koperasi Parlimen (MPUKP) Gombak anjuran Persatuan Penjaja & Peniaga Kecil Melayu (PPPKM) cawangan Gombak Selangor, Gombak yang dihadiri kira-kira 40 ahli persatuan di Bangunan SME Corp, Platinum Sentral, di Kuala Lumpur Sentral, di sini.

Anak jati Kelantan itu juga tidak lokek dengan pakej promosi yang diadakan secara berkala, malah mempunyai impian untuk membuka lebih banyak cawangan Bunianspa_bymk, akan datang.

Katanya, kursus seperti itu banyak membantu mengembangkan perniagaan kerana ia banyak bermula dari diri, dan penggunaan media sosial secara berkesan.

“Perniagaan sekarang lebih kepada promosi di Tiktok, dan saya pun baru membuka akaun Tiktok dan cuba buat ‘live’,” katanya.

Bagi Zaharah Hashim, PPPKM banyak membantu dia sebagai ahli mengembangkan perniagaan kuih semprit klasik dan tart.

“Saya dalam persatuan sudah lima tahun, saya tak sangka dengan khidmat bantuan daripada PPPKM, kuih saya hampir setiap hari terjual, kerana orang sekarang menjadikan kuih seperti ini untuk kudapan.

“Ketika ini, saya usahakan di rumah, jadi saya akan cuba usaha luaskan lagi perniagaan dengan mencari tapak baharu lebih sesuai dengan bantuan PPPKM,” katanya.

Bagi tukang jahit, Eli Murni Agus, dia dapat meneruskan operasi perniagaan butiknya, Dtyrah Exclusive dengan bantuan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) melalui bantuan PPPKM selepas terhenti seketika pada tempoh pandemik COVID19 lalu.

“Pengerusi PPPKM, Fatimah Hamid, banyak membantu ahli, macam-macam. Sebab itu, ahli di bawah persatuan ini ramai bertahan dan terus maju ke depan,” katanya.

Author

Pilihan Editor