HomeBeritaHantar guru atas permintaan, walau madrasah tidak berdaftar - MAIS

Hantar guru atas permintaan, walau madrasah tidak berdaftar – MAIS

KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengesahkan menempatkan empat guru pembimbing terlatih di Madrasah Darussolihin walaupun pusat itu tidak berdaftar sebagai sekolah mahupun pusat pemulihan dan rawatan.

Pengarah Pembangunan Sosial MAIS, Suhaimi Ismail berkata, empat guru berkenaan ditempatkan di premis berkenaan atas permintaan pihak madrasah.

Katanya, permintaan itu berdasarkan usaha MAIS membantu asnaf riqab di tempat pemulihan berkenaan.

“Madrasah Darussolihin telah memohon kepada MAIS untuk penempatan guru bimbingan riqab.

“Berdasarkan kepada permohonan rumah pemulihan tersebut untuk mendapatkan khidmat guru bimbingan riqab kepada penghuni atau pelatih di kalangan asnaf riqab.

“Pihak MAIS telah menghantar seramai empat orang guru pembimbing di pusat tersebut untuk mengajar fardhu ain pada waktu yang ditetapkan iaitu seminggu dua kali,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Beliau mengulas kenyataan pihak madrasah bahawa ada penempatan guru MAIS yang mengajar pada sesi malam.

Katanya, antara usaha MAIS dalam membantu asnaf riqab adalah menyediakan modul dan guru pembimbing yang terlatih untuk ditempatkan di tempat pemulihan termasuk di Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pusat/Rumah Pemulihan.

Menurut MAIS, asnaf riqab ertinya seseorang beragama Islam yang terbelenggu di bawah satu kuasa yang menghalang kebebasan dirinya dan tidak berkemampuan untuk membebaskan dirinya daripada kebelengguan tersebut dan berhak menerima agihan zakat mengikut Hukum Syarak.

Ia berdasarkan Peraturan-peraturan Pendaftaran, Pemulihan Dan Pengawalan Riqab (Negeri Selangor) 2022.

“Riqab adalah seorang yang terbelenggu di bawah satu kuasa yang menghalang kebebasan dirinya” berdasarkan Fatwa Sistem Pengurusan Zakat Negeri Selangor 2009.

Pada Selasa lalu, wakil Madrasah Darussolihin yang mahu dikenali sebagai Ridzuan hadir ditemu bual MEDIA VARIASI di ibu pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia di sini.

Ridzuan hadir bersama tiga lagi wakil madrasah dan selepas sejam perbincangan dengan pihak media, ibu kepada pelajar madrasah yang dakwa didera ala militan turut menyertai perbincangan.

Ridzuan mengesahkan madrasah berkenaan menjalankan pusat pemulihan dadah secara tidak sah sejak 2002 dan hanya sebuah pertubuhan yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) pada tahun 2018.

Terdahulu, Ketua Pengarah AADK, Sutekno Ahmad Belon menafikan dakwaan agensi berkenaan terlibat kerjasama dengan madrasah berkaitan.

MEDIA VARIASI sebelum ini melaporkan, pendedahan pelajar didera ala militan ketika mengikuti ‘rawatan pemulihan’ di madrasah di Shah Alam.

Susulan pendedahan itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim turut mengesahkan laporan diterima dan siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Prof Datuk Dr Rahmat Mohamad menjalankan siasatan dakwaan isu pelanggaran hak asasi manusia di madrasah berkaitan, bagi menjalankan fungsi statutorinya di bawah Seksyen 4 dan 12 Akta SUHAKAM 1999.

Pada Isnin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, memaklumkan kes madrasah yang didakwa dera pelajar ala militan telah dibawa kepada pihak polis.

Author

Pilihan Editor