HomeBeritaSU Politik PM pertikai kajian Merdeka Centre, KPI hanya nombor

SU Politik PM pertikai kajian Merdeka Centre, KPI hanya nombor

KUALA LUMPUR: Setiausaha politik Perdana Menteri, Datuk Syed Mohd Fazmi Sayid Mohammad mempertikaikan laporan kajian Merdeka Centre for Opinion Research yang dirujuk oleh mantan setiausaha sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Marzuki Mohamad.

Ini kerana, dakwanya, kajian yang dilaksanakan tidak menyeluruh dan dilihat pro kepada Muhyiddin.

“Kadar prestasi hanya bersandarkan kepada nombor semata-mata tanpa bukti dan fakta.

“Kalau bagi saya, kajian itu boleh dipertikai. Berapa responden ‘you’ pakai untuk dapatkan kajian.

“Kita ada 3.2 juta penduduk, setakat satu dua tiga ribu (responden), tidak menggambarkan keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Marzuki yang mendakwa rakyat lebih berpuas hati dengan kepimpinan Presiden Bersatu itu berbanding Perdana Menteri kini, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berdasarkan laporan kajian.

Terdahulu, beliau hadir ke program Lawatan ke Jambatan Menara Berkembar PETRONAS Pertubuhan Kebajikan Pemulihan Dalam Komuniti (PKPDK) OKU Maharani Muar bersama Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, di Malaysian Petroleum Club di sini.

Syed Mohd Fazmi berkata, pihaknya juga boleh menjalankan kajian sama jika mahu, namun tidak berdasarkan peratusan semata-mata tetapi berserta fakta dan bukti jelas yang boleh dibentangkan.

“Kalau nak kata gagal, kita dah tunjukkan dengan fakta, kerajaan kita (di bawah pentadbiran Ismail Sabri) ke arah pemulihan.

“Saya pun boleh buat kajian. Kadar kesenangan rakyat meningkat pada zaman Datuk Seri Ismail Sabri, dan dapat dilihat membuka ruang untuk rancakkan ekonomi, kadar pelaburan betul, dari segi fakta saya tak rasa sebagai kegagalan. Jadi, dia (kajian) kena tunjuk bukti.

“Sejak Ismail Sabri ambil alih sebagai Perdana Menteri dari bulan lapan tahun lalu, telah dibentangkan secara fakta berlaku peningkatan mendadak termasuk segi ekonomi, kewangan prestasi KDNK negara, capai 8.9 peratus tertinggi di Asia Tenggara, kadar penggangguran 3.8 peratus, inflasi dapat dikawal. Jadi, bagi saya tidak ada isu gagal,” katanya.

Author

Pilihan Editor