HomeBeritaKenyataan angkuh Amirudin jadi bahan jenaka rakyat - PN Selangor

Kenyataan angkuh Amirudin jadi bahan jenaka rakyat – PN Selangor

KUALA LUMPUR: Dakwaan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, bahawa pentadbiran negeri lebih baik selepas Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meninggalkan Pejabat Menteri Besar pada 2018, ibarat jenaka rakyat.

Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Selangor, Muhammad Hilman Idham, menyifatkan kenyataan Amiruddin hanya angkuh, dan ternyata sekadar menjadi bahan jenaka di kalangan rakyat negeri
Selangor.

Katanya, sebenarnya sudah menjadi resam dalam kepimpinan Amirudin untuk mengaburi mata rakyat agar teruja dengan angka besar.

“Realitinya, beliau sendiri terperangkap dalam bayangan prestasi kepimpinan sebelumnya sehingga terpaksa berhempas pulas melakukan penjenamaan semula terhadap pelbagai program kebajikan rakyat demi memadam dan menghentikan rekod dan prestasi kejayaan Selangor, pentadbiran Azmin.

“Dakwaan prestasi ekonomi baik dengan semata-mata merujuk kepada angka sumbangan negeri kepada KDNK (keluaran dalam negara kasar) negara adalah cubaan dangkal dan meleset.

“Hakikatnya, pertumbuhan negeri Selangor meleset dari tahun ke tahun sejak 2018 sehingga hari ini biarpun sebelum berdepan pandemik.

“Pada 2018, pertumbuhan ekonomi Selangor dicatatkan pada kadar tujuh peratus.

“Kadar pertumbuhan Selangor merosot kepada 6.8 peratus pada 2019 dan terus merosot akibat pandemik pada tahun 2020 pada kadar 5.2 dan hanya 5 peratus pada 2021,” katanya menerusi satu kenyataan, di sini.

Justeru, ADUN Gombak Setia itu menyindir sikap Amiruddin menjadikan kepimpinan negeri delusional dan tidak realistik dalam banyak perkara.

“Misalnya, matlamat Rancangan Selangor Pertama (RS-1) untuk menyumbang 30% daripada KDNK negara.

“Sasaran ini sangat tidak realistik memandangkan Selangor perlu mencatatkan pertumbuhan secara “compounded annual growth rate” atau CAGR sekurang-kurangnya 9.5 peratus setiap tahun khususnya dalam suasana ekonomi hari ini.

“Justeru, wajarlah Amirudin Shari mencermin diri terlebih dahulu sebelum mendabik dada sebegitu,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Amirudin membidas Azmin yang mendakwa Selangor merosot selepas beliau meninggalkan Pejabat Menteri Besar pada 2018.

Menurut Amirudin, prestasi negeri paling maju di Malaysia itu sebenarnya lebih baik selepas 2018 termasuk pengenalan lebih banyak program kebajikan untuk rakyat.

Author

Pilihan Editor