SETIAWANGSA: Usia tidak seharusnya menjadi kayu pengukur kelayakan dan prestasi seseorang untuk berkhidmat dan menjadi wakil rakyat.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa, Datuk Mohd Irwan Rizal Mohd Ali Napiah, tidak bersetuju dengan dakwaan bahawa beliau tidak layak bergelar wakil rakyat hanya kerana digambarkan masih muda dan belum cukup berpengalaman.
Menurutnya, masih ada contoh yang kukuh orang muda layak, sesuai dan padan sebagai wakil rakyat malah menjadi Perdana Menteri.
“Kalau itu (muda) yang menjadi tanda aras ukuran tidak terpilih sebagai calon (wakil rakyat), saya rasa itu tidak tepat.
“Walaupun bukan hak saya untuk menamakan atau memilih calon, ia (muda) tidak tepat kerana jangan jadikan umur sebagai ukuran, penanda aras untuk dijadikan wakil rakyat.
“Contoh, Perdana Menteri Britain atau England, baru ini umur 40 an, jadi Malaysia bila lagi? Nak tunggu umur 80 baru nak jadi PM?,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Terdahulu, beliau mendekati rakyat Parlimen Setiawangsa pada program bersiri Petrol Percuma anjuran Persatuan Komuniti Prihatin Setiawangsa (MySetiawangsa) yang diadakan sejak 2019, di Stesen Minyak Petron Sri Rampai.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Mohd Irwan Rizal menyatakan sistem pendidikan perlu ditambah baik dari aspek fokus pemilihan jurusan berdasarkan had umur sebaik berusia 18 tahun.
“Umur sistem pendidikan perlu berubah. Cukup umur 18 tahun, dah patut selesai dan boleh terus pilih jurusan perubatan ke, undang-undang ke.
“Sistem pendidikan punca, rakyat kita lambat nak matang, lambat nak keluar dari kepompong. Masa umur 23,24 baru nak selesai.
“Sepatutnya, masuk 30, patut fikirkan dah masa depan negara, masuk dalam sistem kepimpinan untuk ubah negara, umur 40 aspek ‘advisory role’, umur 50 bimbing anak muda jadi pelapis.
“Jangan bila anak muda pelapis diulang-ulang, tapi ‘you’ tak mahu lepaskan jawatan,” ujarnya.