HomePendidikanKITARecycle, platform IJM Land semai tabiat lestari pada anak muda

KITARecycle, platform IJM Land semai tabiat lestari pada anak muda

 

SEREMBAN: Seramai 1,028 orang pelajar dari SJK (C) Tung Hua menyertai program KITARecycle anjuran syarikat pemaju hartanah, IJM Land Berhad (IJM Land) bersama SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment).

Pengurus Besar Kanan IJM Land Berhad, Chai Kian Soon berkata, program itu bertujuan untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pemeliharaan alam sekitar sambil menggalakkan tabiat kitar semula dalam kalangan generasi muda.

“Sebelum permulaan program tersebut, para pelajar sekolah rendah ini telah melengkapkan tugasan untuk dua pertandingan: Projek Seni Kitar Semula (pertandingan individu) dan Kempen Wira Kitar Semula (pertandingan kelas).

“Pertandingan individu bertujuan untuk menyemai dan membimbing pelajar supaya mengitar semula dan memupuk cara inovatif untuk menggunakan semula bahan buangan bagi menghasilkan karya seni unik yang berbentuk haiwan.

“Di samping itu, para pelajar juga ditugaskan untuk mengumpul bahan kitar semula untuk pertandingan kelas. Mereka yang dapat mengumpul bahan kitar semula yang paling banyak telah dihadiahkan kelalang termos,” katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.

Tambah beliau, anjuran program sedemikian secara tidak langsung dapat  menyemai tabiat kitar semula dalam kalangan masyarakat dengan memastikan semua pihak memainkan peranan masing-masing untuk memelihara persekitaran supaya menjadi lebih hijau.

“Kami ingin menekankan tabiat kitar semula di sekolah bagi memastikan generasi muda memahami kesan pembuangan sisa yang tidak betul dan sambil menggalakkan penyertaan mereka dalam kempen ini.

“Kami berazam untuk membawa perubahan positif kepada alam semula jadi, dan dengan setiap langkah usaha kami untuk meningkatkan kehijauan alam sekitar, kami berharap untuk mendapatkan penglibatan komuniti kami,” ujarnya.

Untuk rekod, usaha berterusan program KITARecycle IJM Land telah dimulakan pada Januari 2022 untuk membudayakan amalan kitar semula dalam masyarakat di Seremban selain menggalakkan 3R (reduce, reuse, recycle) dalam kalangan pelajar sekolah, inisiatif kerjasama alam sekitar antara IJM Land dan SWM Environment diharap dapat mengaplikasikan tabiat kitar semula di dalam kehidupan para penduduk sehari-hari.

Author

Pilihan Editor