LIVERPOOL berhadapan misi sukar dalam mempertahankan kejuaraan Piala Liga Inggeris (EFL) setelah diundi bertemu juara bertahan Liga Perdana Inggeris, Manchester City pada pusingan keempat piala itu.
Perlawanan membabitkan kedua-dua pasukan gergasi EPL itu dijadualkan hanya beberapa hari selepas perlawanan akhir Piala Dunia pada bulan depan.
Pada pusingan ketiga, City menyingkirkan Chelsea dengan kemenangan 2-0 di Etihad manakala Liverpool memerlukan penentuan sepakan penalti untk menewaskan kelab bawahan divisyen, Derby County di Anfield.
Sementara itu, lawan menanti Manchester United adalah pasukan kejuaraan, Burnley yang dilatih oleh legenda Manchester City, Vincent Kompany. United melepasi pusingan ketiga setelah berjaya mengalahkan Aston Villa 4-2 pada awal pagi tadi.