CYBERJAYA: Pengarah dan penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam menempelak dakwaan yang mengatakan penerbit drama ‘membuat duit’ dan sentiasa mengaut keuntungan bagi setiap projek yang dihasilkan.
Katanya, kos perbelanjaan pembikinan drama masa kini semakin meningkat.
“Nak tahu kaya atau tidak, buatlah drama.
“Ada artis buka syarikat produksi buat drama TV dan selepas itu mengeluh apabila teruk tanggung rugi. Saya cakap padan muka.
“Kau dulu banyak merungut. Bayangkan kalau buat cerekarama bajet dalam RM100,000, tetapi perbelanjaan sebenar perlu dikeluarkan penerbit adalah RM110,000,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.
Pada masa sama, pengarah yang popular dengan drama bersiri Gerak Khas itu turut memohon pihak kerajaan supaya mengkaji semula harga yang ditawarkan stesen penyiaran kepada penerbit dan pengarah yang menghasilkan drama.
Menurutnya, tindakan itu sewajarnya dikaji semula setiap 10 tahun dan perlu ada peningkatan pada kadar tertentu supaya produksi tidak menjadi mangsa.
“Setiap sedekad perlu ada peningkatan. Ketika 1983, saya dibayar RM600 untuk berlakon watak utama bagi drama bersiri di RTM. Bayaran itu ibarat RM3,000 sekarang.
“Harga itu tidak pernah naik sampai sekarang dan sudah tentu sangat menyedihkan.
“Harga ini seperti zaman saya berniaga roti canai 30 sen dan bayar gaji kerani RM300. Memang saya pernah suarakan isu ini ketika jadi Presiden Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PFM), tetapi tiada respons,” ujarnya.