HomeBeritaIsu tanah runtuh: Kerajaan sepatutnya bekukan pembangunan di lereng bukit - Aktivis

Isu tanah runtuh: Kerajaan sepatutnya bekukan pembangunan di lereng bukit – Aktivis

CYBERJAYA: Aktivis alam sekitar, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Ali mengingatkan supaya semua pihak tidak menyalahkan rakyat yang pergi berkhemah di kawasan lereng bukit.

Bekas Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) itu berkata demikian ketika mengulas isu kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan di Gohtong Jaya, Genting Highland baru-baru ini.

Menurut Shariffa Sabrina, yang salahnya dalam perkara ini adalah mengapa pihak berkuasa membiarkan pihak pembangunan membuka kawasan seperti di lereng bukit sesuka hati.

“Daripada tidak membenarkan kita pergi berkhemah, kenapa pihak berkuasa, kerajaan tidak membekukan lesen-lesen pembukaan hutan, tidak membekukan lesen-lesen pembalakan atau tidak membekukan pembangunan di lereng-lereng bukit.

“Itu yang mustahak, itu yang sepatutnya kerajaan buat dulu,” katanya kepada MEDIA VARIASI pada Jumaat ketika dihubungi untuk mengulas isu tersebut.

Katanya, sepatutnya tidak dibenarkan lagi menjalankan apa-apa aktiviti pembangunan daripada 400 meter aras laut.

Shariffa Sabrina menyatakan beliau sedih kejadian tanah runtuh itu berlaku kerana orang-orang yang tak bersalah dan tak berdosa yang menjadi mangsa.

Namun, katanya, perkara seperti itu beliau sudah nampak akan berlaku.

“Sudah terlampau banyak dan saya sudah cakap berkali-kali, kita ini terlampau banyak sangat pembangunan tidak kisahlah sama ada bangunan, jalan raya, pembukaan tanah untuk agrikultur yang tidak mengikut SOP, terlampau banyak.

“Tidak ada pihak-pihak penguat kuasa yang datang memeriksa, tengok tempat itu selamat atau tidak, kenapa ada pembukaan tanah, semua itu tidak ada sesiapa yang memeriksa.

“Maknanya sesiapa pun boleh buka tanah sesuka hati atau pun ada unsur-unsur yang tidak betul di sini yang kita tidak tahu,” tegasnya.

Beliau menekankan kerajaan perlu pentingkan penjagaan hutan berbanding pembangunan di kawasan hutan.

“Macam yang saya cakap, kenapa kita di Malaysia ini perlukan hutan untuk menampung hujan sepanjang tahun, jadi kita sekarang ini sudah tak cukup hutan kerana hutan kita sudah sangat kurang, terlampau kurang.

“Jadi, bila hujan, tanah tak dapat untuk menampung air, itu yang terjadinya tanah runtuh, itu yang terjadinya bermacam-macam bala bencana,” jelasnya lagi.

Author

Pilihan Editor