HomeBeritaHabib Shah Firdaus mengaku Imam Mahadi didakwa hari ini

Habib Shah Firdaus mengaku Imam Mahadi didakwa hari ini

SEREMBAN: Pemimpin Tarekat al-Naqsyabandiah al-Khalidiyyah, Habib Shah Firdaus diarah oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini, hari ini, untuk melantik peguam sebelum perbicaraan ditetapkan pada 23 Februari depan.

Hakim Kamal Bashah Ahmad Tajuddin membuat keputusan itu dan memberi tempoh kepada pemimpin berkenaan, selepas dituduh mencela dan menghina agama Islam.

Habib Shah Firdaus didakwa mengikut Seksyen 50 (1) Enakmen Tarekat Tasawuf Negeri Sembilan 2005.

Menurut fakta kes, tertuduh didakwa melakukan perbuatan atau amalan yang bercanggah dengan bentuk pengamalan tarekat tasawuf yang direkodkan dalam daftar di bawah perenggan 11(1)(h) Enakmen Tarekat Tasawuf Negeri Sembilan 2005.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Ketua Pendakwa Syarie, Rohaizad Redzuan.

Mahkamah menetapkan perbicaraan semula pada 23 Februari depan.

Terdahulu, tertuduh tiba pada jam 11.30 pagi diiringi bersama anggota penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

Pemimpin tarekat berkenaan ditahan pihak berkuasa kira-kira jam 10 malam tadi di rumah sewanya di Kampung Desa Mukmin Warisan, Gombak, Selangor.

MEDIA VARIASI pada 10 Oktober lalu melaporkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Idris Ahmad dalam kerajaan lalu, dilaporkan berkata usaha mengesan pemimpin tarekat terbabit yang dikatakan melarikan diri dengan meninggalkan beberapa pengikutnya di Arab Saudi, masih diteruskan.

Idris difahamkan, pemimpin yang mengaku dirinya ‘Imam Mahadi’ sudah pulang ke negara ini namun tidak diketahui tarikh sebenarnya.

Katanya, ajaran Tarekat Naqsyabandiah Al-Kholidiah itu akan dihentikan segera sebaik pemimpinnya, Habib Shah Firdaus Habib Ahmad ditahan.

Pusat pengamalan Tarekat al-Naqsyabandiah al-Khalidiyyah kendaliannya di Kampung Jawa, Labu, Negeri Sembilan sudah ditutup selama enam bulan oleh Jabatan Mufti Negeri Sembilan (JMNS).

Penutupan itu dibuat susulan jabatan berkenaan menerima aduan tarekat terbabit melakukan perbuatan yang bercanggah dengan hukum syarak.

Dia dilaporkan menghilangkan diri selama lebih empat bulan selepas pulang dari Makkah pada 17 Ogos lalu.

Dia bersama 237 pengikutnya pada 16 Mac lalu berlepas ke Madinah untuk menunaikan umrah sekali gus menetap di Makkah dan kononnya Imam Mahdi akan muncul pada Hari Arafah.

Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad, sebelum ini dilaporkan berkata, berdasarkan maklumat, Habib Shah Firdaus Habib Ahmad bersama kira-kira 300 pengikutnya sudah ke Arab Saudi bagi mengerjakan umrah selain menantikan kemunculan Imam Mahdi.

Author

Pilihan Editor