SAMBUTAN kejuaraan Piala Dunia yang dimenangi Argentina telah dicemari dengan kematian seorang peminat berusia 24 tahun, selepas dia terjatuh di perarakan setelah melompat-lompat ketika meraikan kemenangan yang dramatik ke atas Perancis pada Selasa.
Lionel Messi dan pemain Argentina yang lain menghadiahkan kejayaan Piala Dunia pertama negara itu sejak 1986 dan ia menyebabkan berjuta-juta orang di Argentina mengadakan pesta.
Disebabkan faktor keselamatan, perarakan itu terpaksa dihentikan kerana terdapat peminat yang melompat ke atas bas yang dinaiki oleh skuad Argentina. Kementerian Kesihatan Buenos Aires memberitahu terdapat seorang peminat meninggal dunia di hospital akibat kecederaan kepala semasa perarakan berlangsung.
Kenyataan daripada polis di Buenos Aires kepada La Nacíon berkata, “lelaki itu sedang melompat ke atas bumbung, meraikan kejayaan Pasukan Kebangsaan, sehingga bumbung pecah dan dia jatuh,” membawa kepada kematian. Dia meninggal dunia di Hospital Fernández di Buenos Aires.
Selain itu, terdapat seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang koma selepas mengalami kecederaan kepala yang serius berikutan insiden di Plaza San Martin, di mana dia meraikan kemenangan Piala Dunia Argentina bersama ibu bapanya.
Dalam satu kenyataan oleh La Nacion memberitahu, sekeping marmar telah jatuh dari monumen semasa pesta itu lalu terkena kanak-kanak tersebut yang kini berada dalam rawatan rapi.