SETAPAK: Seiring peredaran zaman, kumpulan rock wanita pertama Malaysia, Candy yang pernah hit dengan lagu Akan Ku Tunggu bakal mengeluarkan ‘single’ baharu sesuai didengari untuk generasi pasca milenium (Generasi Z), awal tahun depan.
Single ciptaan lirik, Edrie Hashim yang masih dalam pembikinan dan belum diberi judul itu, dijangka bakal memberi nafas baharu dalam genre muzik rock negara.
Vokalis Candy, Pat atau nama sebenarnya Nurul Nadhira Patricia Robert berkata, industri muzik rock negara memerlukan pembaharuan mengikut halwa telinga dan sedap didengar mengikut peredaran semasa.
Ini kerana, katanya, lagu Akan Ku Tunggu ciptaan penulis lirik yang sama, popular pada tahun 1997 masih menjadi siulan dalam kalangan peminat rock kapak sehingga kini.
Memandang perkara itu dalam sudut positif, Candy yang dibarisi anggota kumpulan selain Pat iaitu Nancy (pemain bass), Anis Kalisa (gitaris) serta Kim Herrin (pemain drum), cuba keluar dari kepompong kebiasaan dengan mendekati generasi baharu menerusi single berkenaan.
“Candy akan keluarkan single baharu tak lama lagi, mungkin awal tahun depan sebab lirik tengah buat.
“Konsep lagu kali ini lebih mensasarkan kepada generasi baharu, lagipun saya sudah selesai dari program Gegar Vaganza baru-baru ini, dan sekarang ada masa lapang untuk fokus lagu baharu ini sehingga siap,” katanya pada program sidang media pra pelancaran Konsert Amal Rock Hujung Benua Asia 2022, di Restoran Oasis BBQ Garden, di sini.
Candy antara 10 artis seperti Man Kidal, Kumpulan Kristal, Bandi Amuk, Ayai Ilusi, Wom UG14, Halim Rockers, Ucop Ahmad, Kumpulan O-Two dan Kumpulan DNA Band akan menggegarkan Johor dengan 30 lagu pada acara kemuncak konsert berkenaan di Pesta Air Pasang Besar, di Taman Negara Johor Tanjung Piai, Pontian, 24 Disember depan.
Konsert itu juga akan diserikan dengan pertembungan petikan gitar antara Man Kidal, Rodi Kristal dan Pat Candy yang pastinya akan memukau para penonton.
Penganjur dari syarikat AirDome Event Solution, Zack berkata, acara itu disokong oleh Kementerian Pelancongan melalui Tourism Malaysia di bawah inisiatif Pelan Pemulihan Pelancongan 2022.
“Konsert ini dihoskan oleh Persatuan Kebajikan Artis-artis Johor Bahru (The Legend) ini bertujuan untuk membantu ahli-ahli persatuan yang sudah tidak aktif berkarya sambil mengumpulkan artis-artis lama dan baru dalam satu konsert.
“Konsert ini juga adalah salah satu acara yang telah direncanakan untuk mempromosi Pesta Air Pasang Besar Tanjung Piai,” katanya.